
KOTA KINABALU – Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah, Datuk Ellron Alfred Angin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan menerima suapan atau terlibat dalam transaksi bernilai RM530,000.
Penafian itu berhubung laporan Malaysiakini bertarikh 28 Jun 2025 bertajuk ‘Lagi kejutan Sabah: Skandal perlombongan selubungi STAR, pemimpin tertinggi PBS’.
Beliau berkata, tuduhan itu adalah tidak berasas, bermotifkan politik yang tidak matang, mencemarkan nama baik serta integritinya sebagai wakil rakyat dan Timbalan Presiden STAR Sabah.
Justeru katanya, tindakan undang-undang perlu diambil terhadap pihak yang menyebarkan tuduhan palsu terbabit.
“Saya sentiasa berpegang kepada prinsip integriti, akauntabiliti dan tadbir urus bersih, sejajar dengan komitmen Kerajaan Negeri Sabah dalam membanteras rasuah.
“Saya telah mengarahkan pasukan undang-undang untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan tuduhan palsu ini.
“Saya tidak akan berdiam diri. Kebenaran mesti ditegakkan,” katanya dalam kenyataan media, pada Khamis.
Terdahulu, laporan Malaysiakini itu turut mengaitkan lima lagi pemimpin tertinggi dari STAR dan Parti Bersatu Sabah (PBS) termasuk Presiden STAR, Datuk Seri Jeffrey G. Kitingan; Timbalan STAR, Datuk Robert Tawik; Presiden PBS, Datuk Dr Joachim Gunsalam; Datuk Dr Maximus Ongkili dan Timbalan Presiden PBS, Datuk Jahid Jahim.