
BELURAN – Tiga individu termasuk dua warga asing didakwa di Mahkamah Litar Beluran pada Rabu atas kesalahan memalsukan maklumat dalam permohonan kad pengenalan (MyKad), mengikut Peraturan 25(1)(b), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).
Kes pertama, seorang lelaki warga Indonesia, Muhsen Lanno, 50, mengaku bersalah kerana memberikan maklumat palsu bagi mendapatkan MyKad atas nama Azizi Yahatang menggunakan sijil kelahiran yang bukan miliknya di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Beluran pada 25 Julai 2019.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM6,000 atau penjara lapan bulan jika gagal membayar denda berkenaan serta merujuk tertuduh kepada Jabatan Imigresen Malaysia.
Manakala kes kedua melibatkan seorang warganegara Malaysia, Abit Amir, 47, yang turut mengaku bersalah kerana bersubahat membantu seorang warga Pakistan, Islam Habibul Ali, mendapatkan MyKad menggunakan sijil kelahiran anak kandungnya sendiri, Mohd Izaz.
Kesalahan itu dilakukan pada 13 Februari 2017 dan mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM5,500 atau penjara lapan bulan jika gagal membayar denda.
Sementara itu, dalam kes ketiga, Islam Habibul Ali yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri, didakwa atas cubaan mendapatkan MyKad menggunakan sijil lahir milik orang lain di lokasi dan tarikh sama.
Bagaimanapun, tertuduh gagal hadir ke mahkamah dan prosiding ‘Summon To Accuse’ (STA) ditetapkan pada 3 September depan.
Ketiga-tiga kes didengar di hadapan Majistret Nur Faezah Jafry dengan pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Sabah, Mohamad Faizal Tahir.
Kertas pertuduhan masing-masing disediakan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Shafeerah Mad Iskim dan Bryan Francis.
Sehubungan itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Sabah yang membuat tangkapan serta mendakwa kes berkenaan menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang cuba menipu sistem pendaftaran negara kerana boleh menjejaskan kedaulatan dan keselamatan negara.






