
SELANGAU – Dua wanita warga tempatan dicekup polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti perjudian haram, termasuk loteri awam tanpa lesen dan perjudian atas talian (slot), dalam operasi berasingan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Mukah petang pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, serbuan pertama dilakukan sekitar jam 2.50 petang di sebuah premis perniagaan berhampiran stesen minyak di Pekan Selangau.
Menurutnya, seorang wanita berusia 34 tahun ditahan kerana disyaki menjalankan aktiviti slot menggunakan laman web trich88.com.
“Polis merampas sebuah telefon pintar dan wang tunai RM105 sebagai barang kes.”
“Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, dengan hukuman denda RM5,000 hingga RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun jika sabit kesalahan”, katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Sementara, Muhamad Rizal berkata serbuan kedua pula dilakukan sekitar jam 3.40 petang di Pasar Baru Selangau, apabila seorang lagi wanita berusia 34 tahun ditahan kerana menjalankan aktiviti jual beli loteri awam tanpa lesen.
“Polis turut merampas sebuah telefon pintar, mesin pencetak, kertas, pensil dan wang tunai RM92”, katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 4B(a) akta sama, yang boleh dihukum denda RM10,000 hingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun.
Beliau menegaskan kedua-dua suspek didapati negatif dadah melalui ujian urin dan dibawa ke IPD Mukah untuk tindakan lanjut.




