KUANTAN – Dua pelajar Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) maut selepas motosikal ditunggang mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah ambulans di persimpangan lampu isyarat berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Paya Besar, Jalan Gambang, di sini hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintenden Mohd Adli Mat Daud berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Muhammad Zuhair Rifqi Abdul Jalil, 21, dan Muhammad Firdaus Mohammad Zamri, 22.
“Siasatan awal mendapati ambulans dalam perjalanan membawa pesakit dari arah Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) ke arah Bukit Rangin, kira-kira jam 11 pagi.
“Ketika ambulans membelok ke kanan di persimpangan lampu isyarat dengan menggunakan siren, sebuah motosikal dari arah Gambang, dipercayai melanggar ambulans itu.
“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal maut di tempat kejadian manakala pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan HTAA.
“Pemandu ambulans berusia 49 tahun bersama pembantu – berusia 43 tahun – mengalami kecederaan dan menerima rawatan di hospital,” katanya.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.





