SANDAKAN – Seorang lelaki warga asing yang dilaporkan hilang selepas dipercayai dibaham buaya ketika menjala ikan di Sungai Taman Kenari, di sini semalam, ditemukan meninggal dunia pada petang Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, mangsa dikenali sebagai Obing Markum, berusia lingkungan 30-an ditemukan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 2.14 petang.
“Mayat mangsa dijumpai kira-kira satu kilometer (km) dari lokasi botnya ditemui sebelum ini.
“Mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, pada Selasa.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada talian balai polis pada pukul 8.50 pagi Isnin selepas menerima laporan berhubung kehilangan mangsa.
“Sepasukan lima anggota bomba telah digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lapan kilometer dari balai sejurus menerima makluman.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak polis dan mayatnya dibawa ke Hospital Duchess Of Kent (HDOK) Sandakan untuk tindakan lanjut.
Tambahnya, setelah memastikan kawasan sekitar selamat dan tiada lagi ancaman bahaya, operasi SAR ditamatkan pada pukul 3.50 petang.






