
KOTA KINABALU – Dua pegawai agensi penguat kuasa disyaki terlibat sindiket pengeluaran pas lawatan (IMM13) ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hari ini.
Suspek pertama, 50-an, diperintah reman selama enam hari sehingga 6 Ogos ini oleh Mahkamah Majistret Nur Faezah Jafry setelah permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Sandakan pagi tadi.
Sementara itu, Majistret Don Stiwin Malanjum mengeluarkan perintah reman 7 hari sehingga 7 Ogos ini kepada suspek kedua berusia 30-an, setelah SPRM membuat permohonan di Mahkamah Sesyen Tawau.

Menurut sumber, kedua-dua suspek telah ditahan sekitar jam 5.30 petang hingga 7 malam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sandakan dan Tawau semalam.
“Tangkapan terbaharu ini adalah susulan daripada tangkapan dua beranak berkait kes sama pada Jumaat lalu.
“Siasatan awal mendapati kedua suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut sejak tahun 2022 dengan melibatkan nilai rasuah kira-kira RM20,000.
“Kedua-duanya dipercayai melakukan perbuatan tersebut bersama orang tengah dalam menguruskan lanjutan permohonan pas lawatan IMM13 kepada pelarian Filipina yang datang berlindung di Sabah akibat pergolakan sekitar awal 1970-an,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi, mengesahkan penangkapan dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009, serta kejayaan penangkapan adalah hasil risikan SPRM Sabah.