
DR MASOUD Pezeshkian telah dipilih sebagai Presiden Iran yang baharu setelah memenangi pilihan raya menewaskan lawan, Saeed Jalili, dengan margin 2.7 juta undi dalam keputusan yang diumumkan pada Sabtu.
Pilihan raya Presiden terpaksa dilaksanakan lebih awal selepas kematian Presiden Iran, Ebrahim Raisi, akibat nahas helikopter. Seramai empat calon bertanding pada pusingan pertama yang diadakan pada 28 Jun lalu.
Dr Masoud dalam perutusan pascapilihan raya berkata kerjasama rakyat penting untuk mengharungi laluan sukar di hadapan, sambil memberikan penekanan terhadap konsep perpaduan.
“Rakyat Iran yang dihormati, pilihan raya telah berakhir dan ini hanyalah permulaan kerjasama kita. Laluan sukar di hadapan tidak akan mudah kecuali dengan kebersamaan, empati dan kepercayaan anda.
“Saya hulurkan tangan kepada anda dan saya bersumpah dengan kehormatan saya, saya tidak akan meninggalkan anda sendirian di jalan ini,” ucapnya.
Pemimpin pelbagai negara menyampaikan ucapan tahniah kepada Presiden Iran yang baharu itu, antaranya Raja dan Putera Mahkota Arab Saudi, Vladimir Putin (Presiden Rusia), Xi Jinping (Presiden China) dan Shehbaz Sharif (Perdana Menteri Pakistan). – Berita Harian








