
DOKTRIN nasional, termasuk Rukun Negara, memainkan peranan penting dalam menyatukan rakyat dan memastikan negara terus harmoni, kata Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop.
Beliau menegaskan, dalam konteks negara setiap doktrin mempunyai situasi yang sesuai untuk diamalkan.
“Kalau dalam konteks akidah atau tauhid, doktrin itu penting sebagai asas kepercayaan.
“Dalam konteks negara pula, rukun negara adalah doktrin nasional yang menyatukan kita sebagai sebuah negara bangsa.
“Tanpa penghayatan, ia hanya menjadi bacaan biasa tanpa roh atau maksud sebenar,” katanya dalam siaran podcast Minda Tok Abah pada Jumaat.
Ismail berkata, memahami doktrin dengan betul bukan sahaja memperkukuh akidah dalam agama, tetapi juga memperkukuh nilai kebangsaan dan perpaduan rakyat.
“Bagi saya, setiap doktrin ada situasi yang memerlukannya. Ia penting untuk membina kesedaran dan keyakinan rakyat terhadap nilai agama dan negara, terutama dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan bertanggungjawab,” jelas beliau.
Ujarnya, penghayatan terhadap doktrin tidak semestinya terikat dengan latar belakang agama tertentu, sebaliknya semua pihak boleh terlibat dalam memahami dan mengamalkannya demi kebaikan bersama.





