
KOTA KINABALU – Kerajaan mengumumkan pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bermula 15 April ini sebagai langkah proaktif bagi mendepani impak konflik di Asia Barat yang mula menjejaskan kestabilan ekonomi dan bekalan tenaga dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media khasnya pada Rabu berkata, keputusan tersebut telah diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, membabitkan seluruh kementerian, agensi kerajaan, badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memastikan ekonomi negara kekal stabil dan kebajikan rakyat terpelihara.
Mengulas mengenai dasar tersebut, Pensyarah Kanan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, Kampus Kota, Dr. Jain Yassin menyifatkan BDR sebagai langkah jangka pendek yang rasional untuk mengurangkan mobiliti pekerja sekali gus mengurangkan tekanan terhadap penggunaan bahan api.
“Pengurangan pergerakan ke pejabat secara langsung membantu mengekalkan bekalan minyak negara yang dijangka mampu bertahan sehingga Mei ini, sementara menanti krisis tenaga global reda.
“Pelaksanaan BDR juga berupaya mengurangkan kos operasi organisasi seperti penggunaan tenaga elektrik dan penyelenggaraan bangunan tanpa menjejaskan produktiviti.
“Berdasarkan kepada pengalaman semasa pandemik COVID-19, ia telah membuktikan pekerja kini lebih fleksibel dan mampu menyesuaikan diri untuk menyelesaikan tugasan dari rumah dengan lancar,” katanya kepada wartawan The Malaysia Press pada Khamis.
Dalam pada itu, Jain menekankan, keberkesanan dasar ini memerlukan mekanisme pemantauan yang rapi bagi memastikan kualiti penyampaian perkhidmatan awam tidak terjejas.
”Pengurangan mobiliti pekerja boleh mengurangkan permintaan kepada restoran, pengangkutan awam dan perniagaan berkaitan pejabat, kesan ini mungkin bersifat jangka pendek tetapi ia perlu diambil kira dalam pelaksanaan ini.
’’Oleh itu, kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan pelaksanaan BDR secara giliran atau berjadual sebagai alternatif wajar, bergantung kepada keperluan operasi.
”Selain itu, kos peribadi pekerja seperti bil elektrik dan internet juga mungkin akan meningkat, jadi adalah penting untuk kerajaan menilai kos pekerja vs penjimatan pejabat, agar BDR ini akan menjadi lebih kos effectif,’’ kongsinya.
Menyentuh mengenai situasi di Sabah, Jain mengakui terdapat cabaran unik dari segi infrastruktur digital dan capaian internet yang terhad di kawasan luar bandar.
“Berbanding negeri & wilayah lain, Sabah mungkin mempunyai kesediaan lebih rendah untuk pelaksanaan BDR, ini merujuk kepada kemudahan infrastruktur digital dan jaringan internet terutamanya di luar bandar selain faktor demografi serta topografi penduduk.
”Namun BDR masih boleh dilaksanakan, bergantung kepada keperluan operasi, jika ia dilaksanakan di Sabah, penjimatan tenaga akan menjadi sangat ketara memandangkan rata-rata penduduk bergantung kepada penggunaan kenderaan besar atau gas diesel pacuan empat roda (4WD),” ujarnya.
Sehubungan itu, Jain turut menyeru pihak swasta agar mengambil inisiatif serupa mengikut kesesuaian operasi masing-masing.
Katanya, langkah kolektif ini boleh dilihat sebagai strategi efektif dalam menghadapi tempoh ketidaktentuan global demi mengekalkan kestabilan ekonomi dan kelestarian tenaga negara.







