KOTA KINABALU – Walaupun lambakan baju raya siap dijual di kedai dan platform dalam talian, permintaan terhadap tukang jahit seperti Sofia Mubin dan Nazirah Muhamad tetap tinggi menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Sofia, 28, berkata jumlah tempahan yang diterimanya tahun ini bukan sahaja meningkat berbanding tahun lalu, malah dia terpaksa menyiapkan tempahan sehingga hari raya kedua.
“Saya belum sempat pulang ke kampung untuk beraya. Kami tutup kedai pada hari raya pertama, tetapi pada raya kedua saya kembali ke kedai untuk menyiapkan tempahan,” katanya ketika ditemui wartawan TMP di Kedai Nur Tailor di 1Borneo Hypermall pada Rabu.

Menurutnya, dia menerima lebih 100 tempahan baju raya, satu jumlah yang sudah memadai bagi tukang jahit persendirian sepertinya.
“Tempahan baju raya tahun ini sekitar 100 helai, belum lagi termasuk kerja ubah suai pakaian pelanggan.
“Ramai yang membeli baju siap secara dalam talian dan datang ke kedai kami untuk membuat sedikit ubah suai,” kongsinya.
Sementara itu, Nazirah, 34, yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam bidang jahitan berkata, rezeki sebagai tukang jahit tidak terhad pada musim perayaan sahaja.
“Alhamdulillah, rezeki kami tetap ada. Tidak kira musim perayaan atau tidak, sentiasa ada pelanggan yang datang untuk menempah atau mengubah suai pakaian,” katanya.
Menurutnya, kesibukan menyiapkan tempahan pelanggan menyebabkan dia dan keluarganya memilih untuk membeli baju siap dan melakukan sedikit ubah suai bagi persiapan raya tahun ini.
“Kami sekeluarga membeli baju siap kerana terlalu sibuk dengan tempahan pelanggan.
“Kalau jahit sendiri memang tidak sempat. Jadi, beli sahaja baju yang sudah siap dan ubah sedikit mengikut kesesuaian,” jelasnya.
Beliau turut berkongsi kelebihan menempah baju iaitu pelanggan boleh memilih sendiri kain, corak dan reka bentuk yang diinginkan selain mendapatkan ukuran yang lebih tepat.
Namun, katanya, sama ada menjahit atau membeli baju siap, kedua-duanya mempunyai kelebihan tersendiri dan bergantung kepada pilihan individu.








