KUANTAN – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang mengesahkan seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tular meredah banjir untuk ke sekolah, berada dalam keadaan selamat dan kini ditempatkan di asrama.
JPN Pahang menerusi satu kenyataan memaklumkan, siasatan awal mendapati laluan keluar dari rumah pelajar itu dinaiki air secara mendadak, menyebabkan dia terpaksa meredah banjir sebelum sempat dibawa ke asrama pada Sabtu lalu.
“Pelajar terbabit kini ditempatkan di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Lanar dan dilaporkan bersedia menduduki peperiksaan bersama calon lain,” kata kenyataan itu.
JPN Pahang turut menjelaskan, pihaknya bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah menengah berasrama sekitar Lipis telah melaksanakan pelan kontingensi dengan mengenal pasti calon yang tinggal di kawasan berisiko banjir.
Sebagai langkah awal, kata kenyataan itu, kemudahan asrama disediakan kepada murid yang tidak tinggal di asrama tetapi berdepan risiko terkandas akibat keadaan cuaca.
“Keutamaan kami adalah memastikan semua calon SPM dapat hadir ke pusat peperiksaan dengan selamat dan tidak berdepan sebarang kesulitan.
“Pihak PPD dan sekolah turut dimaklumkan supaya terus memantau keadaan pelajar terlibat serta memastikan keperluan mereka mencukupi sepanjang musim tengkujuh,” katanya.
JPN Pahang merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah, PPD, pasukan keselamatan dan semua pihak yang membantu memastikan perjalanan peperiksaan SPM berlangsung dengan lancar demi kepentingan calon.
Semalam tular rakaman video berdurasi 53 saat memaparkan seorang remaja lelaki – dipercayai pelajar sekolah – sedang berenang dalam kawasan dinaiki air sehingga mencecah paras bahu.
Dalam video sama, kelihatan seorang lagi lelaki – dipercayai bapa pelajar terbabit – turut berenang merentasi banjir sambil menolak satu tong hitam besar berisi beg sekolah milik remaja berkenaan.






