KENINGAU – Lelaki warga asing yang menjadi suspek utama yang dalam kes bunuh seorang pemandu teksi di Kampung Lingkudau pada 19 September lalu yang melarikan diri berjaya ditangkap oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Garai berkata, tangkapan lelaki warga Filipina itu dilakukan pada Rabu sekitar pukul 9 malam di kawasan semak Kg Kauran.
Katanya, tangkapan ini adalah hasil kerjasama masyarakat dan risikan pihak polis yang dilakukan selama beberapa hari.
“Suspek dipercayai bersembunyi dan cuba melarikan diri setelah menyedari kehadiran pihak polis.
“Sehubungan itu, suspek kini direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Pihak polis mengucapkan terima kasih kepada masyarakat setempat yang membantu dalam proses tangkapan ini dan menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi di media sosial yang boleh menjejaskan siasatan.
Beliau turut mengingatkan pentingnya kerjasama masyarakat dalam mengekang jenayah.





