
KANGAR – Pelaksanaan inisiatif BUDI MADANI RON95 dan subsidi diesel bersasar oleh kerajaan terbukti berkesan apabila aktiviti penyeludupan bahan api bersubsidi ke negara jiran menurun sebanyak 70 peratus di sempadan negeri ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perlis, Rohaida Hassan berkata, penurunan ketara itu menunjukkan keberkesanan pelaksanaan dasar baharu kerajaan dalam memastikan subsidi dinikmati oleh golongan yang layak.
“Berdasarkan data kita, berlaku penurunan sebanyak 70 peratus terhadap kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, di mana tahun lalu merekodkan 99 kes namun sehingga 31 Oktober lalu hanya sekitar 30 kes direkodkan.
“Ini membuktikan pelaksanaan subsidi diesel bersasar dan BUDI MADANI RON95 benar-benar memberi kesan positif serta membendung kegiatan penyelewengan bahan api bersubsidi di sempadan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Walkabout Pasar Patuh di Pasar Kuala Perlis, di sini hari ini.
Menurutnya, selain kesan dasar tersebut, faktor kesedaran rakyat yang semakin meningkat juga membantu mengekang kegiatan penyeludupan ke Thailand.
Tambah beliau, sepanjang pelaksanaan BUDI MADANI RON95, KPDN Perlis melaksanakan 785 pemeriksaan di 39 stesen minyak bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang berkaitan bahan api bersubsidi.
“Sepanjang pemeriksaan itu, kita dapati tiada penyelewengan mahupun pengurangan liter berlaku, malah semua stesen masih mematuhi piawaian yang ditetapkan,” jelasnya.
Bagaimanapun, katanya, satu aduan diterima pada awal pelaksanaan inisiatif itu mendakwa jumlah isian petrol berkurangan, namun hasil siasatan mendapati dakwaan tersebut tidak berasas.
Program Pasar Patuh yang dikendalikan KPDN bertujuan meningkatkan kesedaran peniaga tentang kepentingan mematuhi undang-undang, menggalakkan persaingan sihat serta melindungi hak pengguna.
Pasar Kuala Perlis menjadi lokasi perintis program berkenaan sebelum diperluas ke seluruh pasar awam di negeri ini secara berperingkat






