
MIRI – Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 di sini melabuhkan tirai dengan penuh meriah, selepas berjaya merekodkan kehadiran seramai 23,959 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya di Stadium Miri.
Program yang berlangsung dari 24 hingga 26 April itu mendapat sambutan luar biasa, sekali gus mencerminkan sokongan positif masyarakat terhadap inisiatif berkenaan.
Ia menghimpunkan 43 agensi kerajaan dan swasta dengan menawarkan 147 perkhidmatan secara terus kepada orang ramai.
Sepanjang tiga hari penganjuran, pelbagai aktiviti menarik telah dilaksanakan termasuk pameran agensi, program kesihatan, keusahawanan, sesi perkongsian ilmu serta kempen kesedaran jenayah siber.
Pengisian program tersebut dilihat memberi manfaat besar kepada penduduk di sekitar Miri, Subis, Marudi dan Telang Usan.
Sementara itu, aspek keusahawanan turut menjadi tumpuan apabila inisiatif Sarawak Kitchen berjaya mencatat jumlah jualan keseluruhan mencecah RM337,227.
Pencapaian itu jelas menunjukkan potensi besar program berkenaan dalam membantu menjana dan meningkatkan pendapatan usahawan tempatan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat berkata, program SKS terbukti berjaya memperkukuh hubungan antara kerajaan dengan rakyat.
Menurutnya, ia juga menjadi platform terbaik dalam mengeratkan kerjasama strategik antara pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta dengan komuniti setempat.
“Kita merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas komitmen berterusan beliau dalam memastikan pelaksanaan program berimpak tinggi seperti SKS ini demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penangguhan program berkenaan pada petang Ahad.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datuk Felicia Tan Ya Hua; Pengarah Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak, Hajah Sapiah Daud serta Residen Bahagian Miri, Galong Luang.





