
KOTA KINABALU – Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu melaksanakan Kempen Pengurangan Bayaran Saman Trafik sehingga 70 peratus selaras dengan arahan dan ketetapan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kempen itu berlangsung mulai 1 November hingga 30 Disember depan.
“Bayaran saman boleh dibuat melalui aplikasi MyBayar PDRM bagi pengguna yang telah berdaftar dengan MyDigital ID, atau secara fizikal di Kaunter Trafik IPD Kota Kinabalu serta Pejabat Pos Malaysia di seluruh negara.
“Tawaran pengurangan ini tidak terpakai bagi kesalahan yang tidak boleh dikompaun (Non-Compoundable / NC) dan pengurangan adalah tertakluk kepada nilai kompaun semasa dengan kadar minimum RM30,” katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Justeru itu, beliau menyeru orang awam agar merebut peluang ini untuk menyelesaikan saman tertunggak.
Jelasnya, usaha ini bukan sahaja memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya, malah diharap dapat meningkatkan disiplin serta kesedaran terhadap kepatuhan undang-undang trafik.
“Ia juga sekali gus menyokong hasrat kerajaan membentuk budaya pemanduan yang lebih selamat dan bertanggungjawab,” ujarnya.




