MALAYSIA dan Brazil dalam satu suara menggesa gencatan senjata segera dan kekal berikutan konflik yang berlaku di Gaza serta mendesak Israel memastikan bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan terus kepada rakyat Palestin.
“Kedua-dua pemimpin juga menegaskan semula sokongan mereka untuk penubuhan Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dan keanggotaan penuh Palestin dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” kata satu kenyataan bersama.
Kenyataan yang dikeluarkan selepas pertemuan dua hala antara Presiden Luiz Inácio Lula da Silva dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di luar Sidang Kemuncak G20, disini pada Ahad
Anwar dan Lula menegaskan komitmen mereka untuk memerangi ketidaksamaan, kelaparan, dan kemiskinan sambil berusaha untuk meningkatkan taraf hidup kedua-dua negara.
Selain itu, ini termasuk pelancaran “Global Alliance against Hunger and Poverty” di mana Lula menzahirkan penghargaan terhadap keputusan Malaysia untuk menyertai pakatan itu sebagai anggota pengasas.
Kedua-dua pemimpin mengulangi komitmen mereka terhadap usaha kolektif untuk membasmi kelaparan global menjelang akhir dekad, sejajar dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030.
Kedua-dua pemimpin turut menekankan kepentingan meningkatkan kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang, termasuk kesihatan, industri Halal, keselamatan makanan dan pertanian, sains, teknologi, dan inovasi, semikonduktor, serta alam sekitar dan perubahan iklim.







