
TANJUNG MANIS – Sebuah bot tunda bersama-sama tongkang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas dikesan melakukan pelbagai kesalahan di perairan Tanjung Manis pada pagi Ahad.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis Komander Maritim Mahkos Juing berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot terbabit beroperasi menggunakan lesen tamat tempoh dan membawa kru warga asing tanpa permit sah.
“Pemeriksaan ke atas bot mendapati ia dikendalikan oleh dua kru tempatan bersama empat warga asing, iaitu tiga warga India dan seorang warga Myanmar berumur antara 21 hingga 65 tahun.
“Bot itu juga menggunakan tenaga kerja asing ketika pelayaran, yang jelas menyalahi undang-undang,” katanya dalam kenyataan pada semalam.
Menurut beliau, semua individu serta bot dan tongkang berkenaan telah ditahan dan dibawa ke jeti Terminal Tanjung Manis untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952, Boat Rules 1953 dan Akta Imigresen 1959/63.




