Armizan tegur Ka Siong, jangan silap rujuk undang-undang

MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan bahawa beliau tidak pernah merujuk kepada Akta Kawalan Bekalan (Pindaan) 2022 (Akta A1652), seperti yang didakwa oleh Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dalam kenyataannya baru-baru ini.

Menurut Armizan, beliau secara jelas menyebut bahawa tindakan penguatkuasaan oleh kementeriannya dilaksanakan berdasarkan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 (PPKB 2021) dan bukannya akta yang dirujuk oleh Ka Siong.

“Dalam sidang media pada 5 Jun 2025, saya telah menyatakan dengan jelas bahawa penguatkuasaan Ops Gasak berlandaskan kepada PPKB (Pindaan) 2021. Kenyataan media yang diedarkan pada sidang media tersebut turut menyebut perkara yang sama,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tindakan Ka Siong yang merujuk kepada Akta Kawalan Bekalan (Pindaan) 2022 jelas menunjukkan berlaku kekeliruan apabila membincangkan peruntukan undang-undang yang tidak berkaitan.

“Memang tidak jumpa peruntukan undang-undang yang saya maksudkan sebab saya sebut A, beliau rujuk Z,” katanya.

Armizan berkata bahawa Ka Siong kini lebih lantang bersuara sebagai ‘jurucakap rakyat’ berbanding ketika beliau memegang jawatan menteri dahulu.

“Saya ucapkan tahniah kepada Presiden MCA kerana dalam kedudukan sekarang beliau tampak lebih cakna terhadap isu rakyat.

“Namun, saya percaya jika peranan ini digalas lebih awal semasa beliau masih menjadi anggota pentadbiran, sudah tentu beliau dan partinya akan membuat bantahan terhadap PPKB (Pindaan) 2021 pada tahun 2021, bukan menunggu sehingga 2025.”

Jelas beliau, PPKB (Pindaan) 2021 telah digubal oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ketika itu, dan mula dikuatkuasakan pada 15 Oktober 2021 serta telah diwartakan sebagai Warta Kerajaan Persekutuan yang boleh diakses umum.

“Saya tidak kisah Presiden MCA tuduh saya bohong. Orang politik jangan cepat koyak. Cuma saya merayu janganlah kelirukan rakyat dengan rujukan kepada undang-undang yang saya tidak sebut,” katanya.

Walaupun mengakui bahawa beliau merupakan ahli Parlimen penggal pertama dan tidak memiliki pengalaman politik setanding Presiden MCA, Armizan menegaskan bahawa beliau tetap berpandukan kepada punca kuasa perundangan yang sah dalam setiap tindakan kementerian.

“Lebih penting lagi saya tidak akan cuba mengelirukan rakyat dengan kenyataan-kenyataan yang tidak bertanggungjawab.

“Menuduh saya memetik punca kuasa perundangan yang tidak wujud bukan cerminan kepada saratnya pengalaman dan kebijaksanaan Presiden MCA yang sempat saya kenali dahulu,” ujar beliau mengakhiri kenyataan.

Terdahulu, Ka Siong memuat naik hantaran di Facebook bagi menunjukkan bukti pindaan peraturan yang dibentangkan pada tahun 2021 tidak menyatakan keperluan mendapatkan permit untuk menggunakan lebih daripada tiga tong LPG bersubsidi.

Related Posts

Jangan biarkan naratif selektif tentukan masa depan negeri

DALAM landskap politik hari ini, semakin kerap kita melihat naratif yang mengaitkan agama dan institusi diraja sebagai ukuran kejayaan sesebuah kerajaan. Doa, ucapan istiadat, dan simbol kebesaran digunakan untuk membentuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Malaysia perkukuh kerjasama tenaga, hadapi ketidaktentuan global – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan kerajaan akan terus bertindak proaktif dalam mendepani krisis global yang semakin mencabar dan kompleks. Menerusi hantaran di akaun rasmi beliau…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Jangan biarkan naratif selektif tentukan masa depan negeri

Jangan biarkan naratif selektif tentukan masa depan negeri

KPSTI selaras pendidikan tinggi Sabah dengan keperluan industri – James

KPSTI selaras pendidikan tinggi Sabah dengan keperluan industri – James

Malaysia perkukuh kerjasama tenaga, hadapi ketidaktentuan global – PM

Malaysia perkukuh kerjasama tenaga, hadapi ketidaktentuan global – PM

Tekanan kos meningkat susulan krisis bekalan global

Tekanan kos meningkat susulan krisis bekalan global

Pasangan buat aksi lucah di jirat Cina dibebas awal

Pasangan buat aksi lucah di jirat Cina dibebas awal

Konsesi MARRIS ditandatangani sewaktu pentadbiran MB terdahulu – Abu Bakar

Konsesi MARRIS ditandatangani sewaktu pentadbiran MB terdahulu – Abu Bakar