
KUCHING – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak melakar satu lagi langkah proaktif apabila menerima tiga buah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) yang baharu bagi memperkukuh keberkesanan operasi kecemasan di Sarawak.
Majlis penyerahan jentera telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak PKPjB Jamri Masran dalam Majlis Perhimpunan Bulanan Tahunan 2025 Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sarawak.
Dalam ucapannya, beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pegawai dan anggota JBPM Sarawak atas komitmen tinggi dalam mendukung keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.
Menurutnya, khidmat profesional yang disalurkan oleh pasukan bomba mencerminkan tonggak kedua Malaysia Madani iaitu kesejahteraan yang membawa maksud keseimbangan dalam aspek fizikal dan sosial.
Beliau turut menekankan pentingnya integriti dalam penyampaian maklumat dalam era komunikasi digital masa kini terutamanya menerusi media sosial.
“Saya ingin menasihati semua pegawai agar berhemah dalam mengeluarkan kenyataan, komen atau ulasan awam. Elakkan sama sekali penyebaran maklumat tidak sahih, berunsur hasutan, fitnah atau provokasi yang boleh menjejaskan imej JBPM,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan sangat cakna dalam usaha mengoptimumkan penggunaan media komunikasi bagi memastikan penyaluran maklumat berkaitan dasar dan usaha kerajaan dapat dilakukan secara telus, berhemah dan memberi impak positif kepada rakyat.
Menurut Jamri, pada tahun lalu, Seksyen Kejuruteraan Jentera JBPM Sarawak telah menerima peruntukan khas sebanyak RM1.1 juta untuk melaksanakan kerja pembaikan kenderaan bomba yang secara tidak langsung meningkatkan tahap kesiapsiagaan jabatan.
Penyerahan jentera CFRT baharu itu dilihat sebagai inisiatif yang tepat dalam usaha mempercepatkan masa respons anggota bomba ke lokasi kecemasan khususnya di kawasan yang sukar diakses.
Jentera CFRT yang lebih ringan dan kompak serta dilengkapi dengan sistem pemadaman terkini membolehkan ia membawa air dalam jumlah sesuai dan bergerak pantas ke lokasi kebakaran terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman negeri Sarawak.
Tiga buah jentera berkenaan akan diserahkan kepada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, BBP Sungai Merah, dan BBP Tabuan Jaya dalam masa terdekat.







