
TUARAN – Kejadian tumpahan cecair merkuri berbahaya berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. John Tuaran, di sini, pada Isnin.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan, pihaknya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.07 pagi.
“Cecair merkuri daripada termometer yang pecah akibat terjatuh selepas digunakan pelajar tumpah di atas lantai bilik makmal sekolah semasa sesi pembelajaran sedang berjalan.
“Pasukan bomba tiba di lokasi kejadian memakai set pakaian pelindung diri (PPE) sebelum membersihkan tumpahan cecair berkenaan menggunakan pasir dan dimasukkan ke dalam bekas khas bagi tindakan pelupusan,” katanya.
Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan operasi keseluruhan ditamatkan pada pukul 9.35 pagi.





