KOTA KINABALU – Barisan Nasional (BN) Sabah tampil pertahan pendirian bahawa mereka bukan pilihan kedua dalam gabungan politik, sebaliknya bersedia mengambil peranan utama menerajui kepimpinan negeri.
Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, BN bersedia untuk memimpin negeri dengan kekuatan pengalaman, struktur organisasi yang stabil dan kemampuan yang telah terbukti selama ini.
“Politik bukan soal siapa yang menepuk belakang siapa hari ini, tetapi siapa yang benar-benar mampu memimpin Sabah ke hadapan.
“Kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang telah dibentuk sebelum ini bukanlah tindak balas kepada mana-mana krisis politik,” katanya dalam satu kenyataan media pada Ahad.
Jelasnya, rundingan politik yang sedang berjalan antara BN Sabah dan rakan-rakan dalam gabungan PH merupakan sebahagian daripada persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN17).
Tambahnya, keputusan ini bukan didorong oleh kepentingan peribadi atau partisan tetapi berpaksikan kepada kepentingan rakyat Sabah.
Menurutnya, BN Sabah konsisten menekankan keperluan untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang benar-benar stabil dan inklusif demi menjamin tadbir urus yang baik di negeri ini.
“Keutamaan BN adalah membela kebajikan rakyat bukannya bergantung kepada pakatan sementara atau terlibat dalam permainan kuasa politik yang merugikan,” ujar beliau.




