PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan lawatan kerja selama dua hari ke Indonesia – mulai esok – bagi menghadiri Rundingan Tahunan Ke-13 dengan Presiden Prabowo Subianto.
Ini adalah sesi pertama antara kedua-dua pemimpin.
Perdana Menteri akan diiringi Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Turut sama Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin berkata, Rundingan Tahunan adalah mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia-Indonesia, bertujuan memperkukuh kerjasama strategik dan menyeluruh.
Beliau berkata demikian dalam taklimat media di Jakarta, hari ini, lapor Bernama.
Syed Mohamad Hasrin berkata, mesyuarat ini diadakan secara bergilir antara kedua-dua negara sejak 2006 dan mencerminkan komitmen politik yang kukuh untuk mempertingkatkan kerjasama dalam pelbagai sektor.
Ini termasuk perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, kesalinghubungan, keterjaminan makanan dan pendidikan.
“Kedua-dua pemimpin dijangka bertukar pandangan mengenai isu serantau dan global yang menjadi kepentingan bersama,” katanya sambil menambah satu Kenyataan Bersama akan dikeluarkan pada akhir sesi rundingan.
Rundingan Tahunan terakhir diadakan pada 2017, menjadikan pertemuan kali ini sebagai peluang tepat untuk kedua-dua pemimpin memperteguh hubungan strategik dan meneroka bidang kerjasama baharu dalam menghadapi cabaran serantau dan global semasa.
Syed Mohamad Hasrin berkata, kedua-dua pemimpin juga akan menyaksikan pertukaran empat Memorandum Persefahaman membabitkan sempadan darat, kerjasama kesihatan serta teknologi maklumat dan komunikasi.
Semasa lawatan itu, Perdana Menteri dijadualkan melawat Sekretariat ASEAN di Jakarta atas jemputan Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn.
Anwar turut akan menyampaikan Ucapan Dasar mengenai ASEAN dalam konteks Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025, yang menekankan komitmen berterusan Malaysia terhadap integrasi serantau dan pembinaan Komuniti ASEAN.








