PEMUDA Amanah memandang serius perkembangan mutakhir yang memperlihatkan pertembungan semakin tegang antara Pemuda UMNO dan DAPSY.
Pemuda Amanah percaya bahawa kekuatan Kerajaan Perpaduan terletak pada kematangan berpolitik, kebijaksanaan menangani perbezaan, dan keupayaan mencari titik persamaan.
Menurut Ketua Pemuda Amanah, Senator Hasbie Muda, pihaknya memahami bahawa perbezaan pandangan adalah perkara biasa dalam sebuah gabungan yang pelbagai ideologi.
Namun katanya, apabila perbezaan itu dibawa keluar daripada semangat musyawarah dan berubah menjadi serangan terbuka, ia hanya akan merugikan agenda besar membina negara.
Sehubungan itu, Pemuda Amanah menawarkan diri sebagai penghubung (mediator) bagi mengembalikan kesepaduan antara Pemuda UMNO dan DAPSY.
“Kami mengajak kedua-dua pihak duduk semeja untuk berdialog secara beradab, serta membina program bersama yang dapat menanam nilai hormat-menghormati, memperkukuh patriotisme, dan memfokuskan khidmat kepada rakyat.
“Sebagai rakan dalam Kerajaan Perpaduan, Pemuda Amanah bersedia menjadi jambatan yang merangkul kembali kesepaduan antara Pemuda UMNO dan DAPSY.
“Perbezaan pandangan adalah lumrah, namun semangat setiakawan dalam membina negara mesti sentiasa dipelihara,” katanya.
Jelasnya lagi, Pemuda Amanah mengajak semua sayap pemuda parti-parti kerajaan untuk kembali ke meja dialog dan bersama menganjurkan program yang mengangkat patriotisme, hormat-menghormati, dan khidmat kepada rakyat.
“Cinta negara harus diterjemahkan melalui pendidikan, kerja kemasyarakatan, dan perbincangan beradab, bukan melalui ugutan atau penghinaan,” katanya.





