
Dalam kenyataan bersama, pasukan peguam yang diketuai Hamid Ismail berkata, siasatan tatatertib yang dibuka terhadap beberapa pegawai kanan polis adalah langkah tepat bagi memastikan ketelusan dan integriti dalam proses siasatan.
“Kami menyokong siasatan tersebut. Gelombang #JusticeForZara di seluruh Malaysia tidak akan berlaku sekiranya langkah yang sepatutnya diambil oleh pegawai penyiasat mengikut prosedur undang-undang dilaksanakan sejak awal,” menurut kenyataan itu.
Pasukan guaman menyatakan demikian dengan merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay pada Jumaat bahawa JIPS Bukit Aman telah membuka Kertas Siasatan Tatatertib (KST) terhadap Ketua Polis Daerah berpangkat Superintenden, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah berpangkat Asisten Superintenden (ASP) dan pegawai penyiasat berpangkat Inspektor yang disyaki melakukan ketidakpatuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika menjalankan siasatan kes terhadap kes kematian Zara Qairina Mahathir.
Peguam juga memohon agar tindakan tegas diambil terhadap pegawai yang terbukti gagal mematuhi SOP siasatan.
“Kami berharap gelombang #JusticeForZara menjadi peringatan kepada Polis Diraja Malaysia agar semua kes kematian yang melibatkan keadaan meragukan disiasat dengan telus bermula daripada tarikh laporan pertama dibuat,” jelas kenyataan itu pada Sabtu.
Dalam masa sama, pasukan peguam memaklumkan mereka masih menunggu tarikh permohonan inkues daripada Jabatan Peguam Negara bagi menentukan punca sebenar kematian Zara Qairina.
Kenyataan itu dibuat bersama oleh Hamid Ismail, Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh dan Farrah Nasser.





