
KOTA KINABALU – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata Kerajaan Negeri menyerahkan sepenuhnya isu membabitkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang berdepan pertuduhan rasuah kepada proses undang-undang.
“Kita menghormati undang-undang dan kita akan membiarkan proses undang-undang berjalan seperti sepatutnya.
“Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan campur tangan dalam sebarang siasatan dan tindakan undang-undang terhadap mana-mana pemimpin kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.
Beliau mengulas mengenai ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob dan ADUN Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandi, yang didakwa atas pertuduhan rasuah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Jason Juga, hari ini.
Mengenai kedudukan mereka dalam kerajaan semasa, Hajiji berkata akan meneliti perkara itu dengan sebaiknya selepas menerima semua maklumat dan laporan yang berkaitan.
Beliau berkata Kerajaan Negeri GRS komited untuk memastikan integriti dalam pentadbiran dan pengurusan kerajaan Andi, yang merupakan Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan
Keusahawanan serta Dr Yusof yang merupakan Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad, dituduh menerima wang daripada seorang individu bernama Datuk Tei Jeinn Cheing sebagai dorongan untuk membantu mendapatkan lesen mencarigali mineral bagi dua syarikat milik rakan niaga Tei.
Tei turut didakwa di mahkamah sama atas kesalahan memberi rasuah.




