
KANGAR – Larian Eco Fun Run bertukar menjadi pesta mesra rakyat apabila Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berlari santai bersama hampir 2,000 peserta mengelilingi geotapak Bukit Lagi, di sini hari ini.
Baginda yang terkenal dengan sifat ramah itu dilihat bergurau, berswafoto dan beramah mesra bersama peserta di sepanjang laluan sejauh tujuh kilometer.
Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin turut melepaskan peserta di garisan permulaan di Dewan 2020 sebelum menyertai mereka menikmati suasana sawah padi dan kehijauan alam.
Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil; anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail serta kerabat diraja negeri turut memeriahkan acara.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad juga tidak ketinggalan berlari bersama peserta dalam program penuh warna-warni itu.

Beberapa hentian dijadikan ‘checkpoint’ untuk memberi peluang rakyat berswafoto bersama baginda tanpa mengira usia atau latar belakang.
Suasana ceria dengan gelak tawa dan tepukan sorakan mencerminkan hubungan erat istana dan rakyat di negeri Perlis.
Di penghujung acara, Tuanku Syed Faizuddin menyampaikan hadiah cabutan bertuah termasuk sebuah motosikal elektrik kepada peserta bertuah.
Program ini merupakan sebahagian daripada Karnival Sihat Milik Semua 2025 yang bersempena Sambutan Jubli Perak 25 tahun Pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Karnival tersebut selari dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan program outreach Madani Afiat yang menekankan kesejahteraan holistik, inklusif dan berteraskan komuniti melalui aktiviti riadah, pemuliharaan alam sekitar serta pemupukan budaya hidup sihat.





