
SEMPORNA – Dakwaan tular mengenai kematian ADUN Sulabayan, Datuk Jaujan Sambakong tidak benar apabila beliau dilaporkan berada dalam keadaan sihat dan masih menjalankan tugas seperti biasa.
Perkara itu disahkan Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menerusi kenyataan di Facebook rasmi miliknya.
Beliau berkata, penyebaran berita palsu yang mendakwa Jaujan telah meninggal dunia adalah satu perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab dan tidak berperikemanusiaan.
“Dalam apa jua perbezaan politik, ada batas yang tidak sepatutnya dilanggar.
“Menyebarkan berita kematian palsu bukan sahaja keterlaluan, malah mencerminkan betapa rendahnya nilai dan etika pihak yang melakukannya,” katanya.
Sehubungan itu, Shafie menyeru semua pihak supaya berhenti menyebarkan maklumat tidak sahih dan lebih bertanggungjawab.
“Fokus kita sepatutnya adalah berkhidmat kepada rakyat bukan mencipta fitnah,” ujarnya.





