
SANDAKAN – Seramai 23 murid bimbingan bersama 10 guru bimbingan menyertai lawatan pembelajaran bagi memperkukuh penguasaan literasi dan numerasi dalam kalangan murid di Bornean Sun Bear Conservation Centre (BSBCC), di sini, pada Isnin,
Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah, Sektor Pembelajaran, Suhaimi Othman berkata, program seumpama itu bukan sahaja mampu meningkatkan minat murid terhadap pembelajaran, malah berupaya mengukuhkan penguasaan literasi dan numerasi selaras dengan aspirasi pendidikan semasa.
“Program seperti ini bukan sahaja meningkatkan minat murid terhadap pembelajaran, malah membantu mengukuhkan penguasaan literasi dan numerasi selaras dengan aspirasi pendidikan semasa,.

“Melalui pendekatan pembelajaran secara langsung, murid berpeluang mengenal pasti keunikan beruang madu termasuk corak tanda pada bahagian dada yang berbeza bagi setiap haiwan.
“Elemen literasi dan numerasi turut diterapkan menerusi aktiviti seperti memahami ukuran ketinggian beruang madu yang mencecah sekitar 150 sentimeter serta mengenal pasti spesies haiwan di kawasan tersebut.
“Selain itu, pendekatan pedagogi terbeza dilaksanakan bagi memenuhi keperluan pembelajaran murid yang pelbagai, sekali gus memastikan setiap peserta mendapat manfaat optimum daripada program berkenaan.

“Perbincangan berkumpulan yang dijalankan sepanjang lawatan turut membantu meningkatkan kemahiran komunikasi, kolaborasi dan pemikiran kritis dalam kalangan murid.” katanya dalam kenyataan, pada Isnin.
Justeru, Suhaimi, berharap program seumpama itu dapat memperkukuh pembelajaran bermakna serta menyokong perkembangan kemahiran asas murid secara menyeluruh.
Program tersebut turut melibatkan 10 ahli jawatankuasa (AJK) serta dua pegawai bimbingan, selaras dengan hala tuju program pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam meningkatkan kemahiran asas murid.





