KANGAR – Seorang Pembantu Kebajikan Masyarakat berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan selepas didakwa atas sembilan pertuduhan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan pada hujung tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Zamir Abdul Wahab, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Sesyen, Sharifah Norazlita Syed Salim Idid di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Ahmad Poad mengendalikan kes manakala tertuduh diwakili peguam Nurul Syuhada Mohd. Yusof dan Lizawati Salamon.
Menurut kertas pertuduhan, kesalahan itu dilakukan di tepi tangga dan sebuah bilik dekat Pejabat Pembantu Kebajikan Masyarakat, kuarters sebuah rumah perlindungan kanak-kanak antara November hingga Disember tahun lalu sekitar pukul 8.30 malam hingga 9.30 malam.
Dia didakwa melakukan amang seksual fizikal pada beberapa bahagian badan dan kemaluan remaja berusia 17 tahun ketika kejadian berlaku.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin serta melarang tertuduh mendekati mangsa selain perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berhampiran.
Tertuduh membayar jaminan tersebut dan sebutan semula kes ditetapkan pada 9 Oktober depan.






