
KUCHING – Menjelang pembentangan Belanjawan 2026, rakyat dari pelbagai latar belakang menyuarakan harapan agar bajet kali ini bersifat adil, inklusif dan berpaksikan rakyat, dengan tumpuan kepada pembangunan infrastruktur, pendidikan, serta peningkatan kesejahteraan sosial di seluruh negara, khususnya di Sarawak.
Bagi Naziry Harizan, 30, dia berharap agihan bajet tahun ini dilaksanakan secara seimbang agar manfaatnya dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kawasan.
“Saya berharap Bajet 2026 dapat diagihkan secara adil dan lebih memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur dan pendidikan di seluruh Malaysia. Tumpuan khususnya kepada kawasan luar bandar perlu dipertingkatkan demi memastikan penduduk luar bandar turut sama merasai pembangunan yang dikecapi oleh penduduk di kawasan bandar,” katanya.

Menurut Naziry, bagi Sarawak, Belanjawan 2026 wajar berorientasikan rakyat dengan menjadikan keperluan komuniti sebagai fokus utama dasar awam.
“Fokus utama perlu diberikan kepada pembangunan infrastruktur sosial dan fizikal yang menyokong kesejahteraan rakyat, termasuk kemudahan kesihatan, pendidikan serta pemerkasaan perkhidmatan awam. Dari sudut kewangan pula, kerajaan boleh menambah akses kepada bantuan dan pinjaman untuk golongan berpendapatan rendah serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana,” ujarnya.
Sementara itu, Shaffaridzuan Yakub, 33, seorang pelajar, berpandangan bahawa Belanjawan 2026 perlu memberi perhatian khusus kepada pembangunan teknologi kewangan (fintech) bagi memperkukuh ekonomi digital negara.

“Harapan saya bagi belanjawan ini adalah memberi fokus kepada perkembangan teknologi kewangan supaya dapat meningkatkan inklusiviti kewangan. Contohnya memperluas penggunaan bank digital, memperbaiki sistem pembayaran tanpa tunai dan menyediakan kemudahan pinjaman mikro yang disokong oleh teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan analitik data,” katanya.
Jelasnya, pendekatan ini mampu mengurangkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi digital di Sarawak dan Malaysia secara keseluruhan.
Bagi Hajijah Kadir, 60, seorang suri rumah, harapannya lebih tertumpu kepada kesejahteraan isi rumah berpendapatan rendah.
“Sebagai seorang suri rumah, saya berharap Bajet 2026 benar-benar memberi kelegaan kepada keluarga seperti kami. Bantuan tunai dan subsidi barangan keperluan asas perlu diteruskan agar kos sara hidup lebih terkawal,” katanya.

Tambah Hajijah, peluang latihan kemahiran dan sokongan kepada usahawan kecil wanita juga perlu diperluas agar golongan wanita mampu menambah pendapatan dari rumah.
“Kerajaan juga diharap menambah baik kemudahan kesihatan dan pendidikan di luar bandar supaya lebih mudah diakses. Setiap bantuan pula perlu dilaksanakan secara telus dan berterusan agar rakyat benar-benar merasai manfaatnya,” katanya lagi.
Belanjawan 2026 dijangka menjadi tumpuan penting dalam memperkukuh ekonomi negara, menangani kos sara hidup, serta memastikan pembangunan inklusif dan saksama untuk rakyat di seluruh pelosok Malaysia.




