
BELANJAWAN 2026 yang dibentangkan kerajaan merupakan asas penting kepada pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang bermatlamat membina rakyat sebagai teras pembangunan negara, kata Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Datuk Ismail Yusop.
Ismail berkata, penyediaan belanjawan negara tidak boleh dilihat hanya dari sudut politik kerana ia merupakan proses tadbir urus yang dilaksanakan secara profesional oleh pegawai Kementerian Kewangan mengikut piawaian ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Beliau berpandangan, tidak kira siapa yang memegang jawatan Perdana Menteri atau Menteri Kewangan, struktur penyediaan belanjawan tetap berlandaskan prinsip tata kelola antarabangsa, termasuk pembahagian belanja mengurus, belanja pembangunan serta kaedah perkiraan fiskal yang wajib dipatuhi.
“Pegawai-pegawai Kementerian Kewangan inilah yang menyediakan belanjawan setiap tahun berdasarkan panduan dan hala tuju kerajaan semasa.
“Proses ini tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya atau menukar pegawai sesuka hati kerana ia mematuhi standard pengurusan kewangan dunia,” katanya ketika dalam siaran podcast Minda Tok Abah pada Jumaat.
Ismail menjelaskan, penyediaan belanjawan turut melibatkan libat urus dengan kerajaan negeri serta pelbagai lapisan pemegang taruh, sebelum data dan dapatan dirumuskan menjadi Belanjawan tahunan negara.
Beliau berkata, ketika membandingkan Belanjawan 2026 dengan belanjawan sebelum ini, perbezaan ketara ialah kedudukannya sebagai fasa pertama pelaksanaan RMK13, selepas penilaian separuh penggal RMK12 diselesaikan.
“RMK13 ialah hasil pengalaman Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI mengurus negara berasaskan prinsip membangun Malaysia. Ia mengandungi enam kerangka perubahan yang menjadi asas hala tuju lima tahun akan datang,” katanya.
Katanya, RMK13 digambarkan sebagai sebuah ‘helicopter view’ yang mendefinisikan rupa bentuk Malaysia dalam tempoh lima tahun mendatang, manakala Belanjawan 2026 menjadi batu asas kepada keseluruhan pelaksanaan rancangan itu.
“Belanjawan 2026 bukan belanjawan yang menumpukan projek mega atau pembinaan bangunan tinggi. Fokusnya adalah membina rakyat pemberdayaan rakyat dalam pendidikan, ekonomi dan sosial supaya mereka mampu berdiri bersama kerajaan menjaga kelangsungan negara,” jelasnya.
Ismail menegaskan, penekanan terhadap pengupayaan rakyat menjadikan Belanjawan 2026 sebuah belanjawan yang benar-benar bersifat pembangunan insan, selaras dengan gagasan Kerajaan MADANI.






