KOTA KINABALU – Belanjawan 2025 dikategorikan sebagai belanjawan mesra golongan miskin dan berpendapatan rendah khususnya kepada komuniti di Sabah yang menerima manfaatnya.
Demikian kata Pensyarah Program Sosiologi dan Antropologi Sosial, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Jalihah Md Shah ketika dihubungi wartawan TMP di sini pada Ahad.
“Jika dihitung dari segi kekerapan Perdana Menteri menyebut Sabah di dalam pembentangan belanjawan, nama negeri Sabah paling kerap disebut di dalam bajet kali ini iaitu sebanyak 41 kali manakala istilah kemiskinan atau miskin disebut sebanyak 20 kali.
“Hal ini menunjukkan kerajaan secara umum mengambil berat terhadap keperluan masyarakat di negeri ini,” kata beliau.
Namun, katanya, ada isu yang perlu diberi perhatian dan tindakan efektif oleh kerajaan negeri dan agensi pelaksana di Sabah.
Mengulas lanjut, Jalihah mengharapkan peruntukan pembangunan Sabah sebanyak RM6.7 bilion serta peningkatan kadar Pemberian Khas Sarawak dan Sabah kepada RM600 juta dalam Bajet 2025 ini dapat dikelola dengan cemerlang oleh pemerintah di negeri Sabah.
Jelas beliau, peruntukan menambah baik infrastruktur asas di Sabah satu elemen penting yang memberi impak langsung kepada kos sara hidup dan status sosioekonomi komuniti di Sabah.
“Hal ini secara langsung boleh membantu meningkatkan taraf hidup komuniti khususnya di luar bandar dan menyuntik ke arah hidup yang lebih sejahtera kerana akses jaringan jalan raya.
“Misalnya tidak sahaja menurunkan kos pengangkutan ahli komuniti di kawasan yang terlibat tetapi dalam masa sama memudahkan pemasaran produk-produk khususnya pertanian,” ujarnya.
Selain daripada itu, Jalihah juga tertarik dengan pengumuman proses permohonan berkaitan agensi kerajaan yang diselesaikan secara dalam talian.
Beliau memberitahu pengumuman itu dijangka memberi cabaran kepada komuniti di Sabah terutamanya di kawasan pedalaman yang akses kepada talian internet yang tiada atau kerap terganggu.
“Hal ini memerlukan sistem penyampaian yang efisien di peringkat daerah dan kampung agar segala maklumat berkaitan program-program bantuan sampai kepada komuniti dan komuniti diberikan perhatian khusus menerusi libat urus yang berterusan.
“Kita tidak mahu, dalam keghairahan kerajaan mengoptimumkan pendigitalan dalam urus tadbir tapi komuniti peringkat akar umbi di pedalaman terlepas peluang-peluang yang disediakan.
“Jika tidak, kita bakal mengukuhkan kemiskinan digital yang sedang berlaku dan menyukarkan urusan dan peluang membangunkan komuniti di kawasan pedalaman,” jelas beliau.
Sementara itu, Jalihah berpandangan Bajet 2025 adalah selari dengan usaha kerajaan Malaysia untuk mencapai sifar miskin tegar pada tahun 2025 seperti yang dinyatakan dalam Pembangunan Mampan 1: Sifar Kemiskinan (SDG 1).
“Sabah merekodkan peratusan kemiskinan tegar tertinggi di Malaysia iaitu 1.2 peratus, pastinya peruntukan inisiatif bantuan rakyat merupakan berita baik khususnya dalam membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah di negeri ini,” katanya.
Jelas Jalihah, meskipun Ketua Menteri Sabah sudah mengumumkan miskin tegar di Sabah dinoktahkan pada Julai 2024 berdasarkan ‘locked data’ e-Kasih tetapi ada komuniti akar umbi yang berhadapan dengan kepayahan hidup.
“Mereka ini amat mengharapkan wang tunai untuk menjalani kehidupan harian dan meringankan beban kewangan keluarga masing-masing.
“Maka, pengumuman peningkatan inisiatif secara tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Kadar Bantuan Warga Emas, Kadar Bantuan Kanak-kanak Keluarga Miskin adalah pengumuman yang dinantikan.
“Kesemua inisiatif pemberian wang secara tunai ini boleh memberi impak yang signifikan terhadap usaha meringankan perbelanjaan dan kos sara hidup golongan miskin dan berpendapatan rendah serta golongan yang memerlukan misalnya warga tua,” kata beliau.
Katanya lagi, inisiatif yang diumumkan dalam Bajet 2025 ini bersifat holistik dengan cuba memanfaatkan semua golongan sasaran.







