Belanjawan 2025: Apa harapan rakyat?

Oleh: Mai S, A. Athirah, Siti, Hidayatun Nuffus

Belanjawan Madani 2025 menjadi tumpuan utama rakyat Malaysia yang mengharapkan langkah-langkah proaktif bagi mengatasi cabaran ekonomi semasa, termasuk kos sara hidup yang semakin meningkat dan jurang pendapatan yang ketara.

Tinjauan The Malaysia Press di sekitar ibu kota mendapati, rakyat berharap agar belanjawan kali ini dapat menangani bebanan kehidupan sedia ada terutamanya melibatkan kos sara hidup, peluang pekerjaan dan pendidikan.

Menurut seorang suri rumah, Faridah, 48, berharap supaya kerajaan dapat meneliti semula keputusan untuk menghentikan subsidi pendidikan terhadap golongan kaya di sekolah awam dan institut pengajian tinggi.

Kata ibu kepada empat orang anak itu, kerajaan perlu mengambil kira semua faktor seperti kesihatan dan kos sara hidup di mana bukan semua golongan kaya berstatus T20 mampu untuk menanggung perbelanjaan anak-anak terutamanya di institut pengajian tinggi (IPT).

“Berharap sangat subsidi universiti bagi golongan kaya tidak diubah, kalau diberi penambahan itu lebih baik tetapi jangan dipotong, tidak semestinya semua golongan T20 mampu dan kami pun kena bayar cukai mahal, kalau semua dipotong, cukai itu untuk apa?

“Pendidikan seharusnya dibuat sama rata, barulah semua rakyat Malaysia ada peluang untuk sambung belajar, sebab golongan T20 atau M40 tidak semestinya berkemampuan, masing-masing ada masalah masing-masing,” katanya ketika ditemui.

Faridah, 48, suri rumah

Tambah Faridah, dengan membuat perbandingan dengan negara Jerman yang menawarkan pendidikan percuma buat rakyatnya, Malaysia seharusnya melakukan perkara sama supaya tiada yang ketinggalan dalam pendidikan.

“Memang susah walaupun suami T20 tapi suami sakit, saya pula tidak bekerja jadi bila anak masuk universiti, kami semua susah payah tampung perbelanjaan anak, jadi kerajaan perlu kaji balik dasar tersebut.

“Kalau kerajaan tarik subsidi ini, ia akan jadi sangat teruk buat kami yang sedang bersusah payah, ‘education has to be the same’ (pendidikan harus sama rata tanpa kira status),” ujarnya.

Sementara itu, seorang peniaga, Badrul Hisyam, 58, berharap agar masalah kenaikan kos sara hidup dapat diselesaikan sekaligus membantu para peniaga kecil untuk memperoleh keuntungan yang lebih baik demi kelangsungan hidup mereka.

Menurut Badrul, walaupun sudah hampir 15 tahun menguruskan perniagaan makanan dimiliki oleh syarikat swasta namun dia masih menerima gaji yang tidak sewajarnya dan tidak mencukupi untuk menyara kehidupan mereka empat beranak.

“Gaji ciput (sikit), tidak naik selagi majikan tidak dapat untung sebab jualan makin lama makin kurang, saya dibayar RM60 sahaja sehari, kalau dulu jualan boleh dapat RM1,000 hingga RM1,200 sehari tapi sekarang hanya dapat RM700 ke RM800 sahaja, berniaga barang makan ini memang susah nak dapat untung.

“Kos perbelanjaan pula, kalau dulu hanya RM300, sekarang dah naik RM500, harga barang naik, ayam mentah sekilo dah RM10, minyak masak paket susah dapat, kalau dapat pun tidak boleh beli banyak, terpaksa beli minyak botol yang mahal untuk goreng ayam, minyak pula boleh pakai tiga kali sahaja,” luahnya ketika ditemui.

Tambah Badrul, dengan kedua-dua anaknya yang masih belajar di IPT, pendapatan bersihnya sebanyak RM1,800 sebulan, sudah pasti tidak mencukupi, bahkan dia dan isterinya tetap perlu bekerja walaupun usia sudah lanjut.

“Setiap kali nak belanja perlu ukur baju di badan sendirilah, tidak boleh lebih-lebih, macam sekarang dah mula menabung untuk perbelanjaan pada bulan puasa dan raya nanti.

“Dulu boleh jual nasi RM6 sebungkus, sekarang jual air teh o ais RM2 pun orang dah terperanjat kalau dulu boleh habiskan dua balang air, sekarang nak habiskan satu balang pun susah sebab sekarang orang dah kurang berbelanja,” ujarnya.

Selain itu, menurut seorang pelajar sarjana geografi di Universiti Malaysia Sabah, Ridzuan Abd Gafor, 25, berharap agar Belanjawan 2025 kali ini dapat menyelesaikan masalah peluang pekerjaan profesional yang terhad di bandar-bandar kecil terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, di Sabah khususnya ramai pelajar cemerlang yang tidak berupaya untuk mendapatkan pekerjaan yang diidamkan disebabkan oleh kekurangan peluang pekerjaan dalam bidang profesional.

“Sejujurnya bagi bidang saya, peluang pekerjaan sangat terhad dan ramai kawan-kawan saya terpaksa berpindah ke Semenanjung untuk bekerja, maksudnya untuk dapat kerja setaraf dengan pembelajaran di universiti agak sukar jika tidak keluar dari sini (Sabah).

“Kerajaan ada laksanakan inisiatif untuk elakkan pengangguran seperti Mystep dan Protege tapi kebanyakannya tertumpu di bandar-bandar besar di Semenanjung, untuk Sabah dan Sarawak pula kurang terdedah dan kalau boleh biarlah program sebegini lebih meluas di sini,” katanya ketika dihubungi.

Ridzuan Abd Ghafor, 25, mahasiswa

Tambahnya, dia juga berharap agar kerajaan dapat memberi perhatian khusus terhadap pembangunan infrastruktur di kampus dan menambah baik kemudahan fasiliti untuk pelajar.

“Harapan saya sebagai mahasiswa supaya ada lebih banyak bantuan kewangan kepada pelajar, fasiliti kemudahan di kampus dapat ditambah baik dan adanya lebih banyak program kesejahteraan fizikal dan mental mahasiswa.

“Selain itu, ramai pelajar mengalami kesusahan untuk menentukan hala tuju selepas keluar daripada universiti, jadi jika ada satu program khas hala tuju selepas universiti yang bekerjasama dengan pihak industri sudah semestinya ia dapat mempersiapkan diri mahasiswa sebelum menuju alam pekerjaan,” ujarnya.

Menurut Hajijah Meni, 68, yang merupakan seorang bekas tukang sapu pula berharap agar warga emas yang masih sihat tubuh badan sepertinya dapat dibenarkan untuk bekerja dalam sektor ringan seperti petugas pembersihan atau tukang sapu.

Hajijah Meni, 68, bekas tukang sapu

“Sebelum ini saya dah kerja lebih kurang lima tahun sebagai tukang sapu, selepas tamatnya kontrak, saya sudah tidak diterima kerja lagi, saya masih kuat untuk bekerja walaupun usia sudah lanjut.

“Saya nak cari kerja tukang sapu tapi susahnya bila majikan sudah tidak terima orang tua sangat, dah banyak kali saya usahakan tapi majikan tetap tidak mahu tanggung risiko ambil warga emas bekerja tapi kalau saya tidak bekerja siapa nak bagi duit,” katanya ketika ditemui.

Related Posts

Simpanan persaraan lebih terjamin dengan i-Legasi, i-Emas

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperkenalkan i-Legasi dan i-Emas bagi memperkukuh jaminan kewangan serta memastikan kelangsungan simpanan persaraan ahli dalam jangka panjang. Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

MADANI membina jiwa bangsa

MADANI membina jiwa bangsa

Isu eksport pasir wajar dilihat dari sudut teknikal

Isu eksport pasir wajar dilihat dari sudut teknikal

80 tahun UMNO: Teguh pertahan institusi Diraja, kesejahteraan rakyat Sabah

80 tahun UMNO: Teguh pertahan institusi Diraja, kesejahteraan rakyat Sabah

Peruntukan RM500,000 naik taraf jambatan Taman Yik King legakan penduduk

Peruntukan RM500,000 naik taraf jambatan Taman Yik King legakan penduduk

‘Empowering Women’ penggerak pembangunan keluarga, masyarakat – Rina

‘Empowering Women’ penggerak pembangunan keluarga, masyarakat – Rina

Simpanan persaraan lebih terjamin dengan i-Legasi, i-Emas

Simpanan persaraan lebih terjamin dengan i-Legasi, i-Emas