
ALASAN kenaikan harga mendadak tapak bazar Ramadan pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV daripada RM500 kepada RM1,350 adalah tidak munasabah jika sekadar mengadakan pertandingan gerai paling cantik.
Pemerhati politik, Norman Radzuan berkata, situasi ini berbeza apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa mahu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ingin mengambil alih pengurusan bazar Ramadan tetapi timbul suara-suara ‘Penyamar Hero-Hero Melayu’ mengatakan kerajaan menindas badan bukan kerajaan (NGO) dengan bayaran RM3,000 ke RM10,000.
Norman berkata, jelas terlihat bukan salah kerajaan tetapi tindakan NGO seperti ‘api dalam sekam’ apabila mengaut keuntungan jutaan ringgit di mana ribuan peniaga ditindas akibat dicaj bayaran sewa tidak masuk akal.
“Ahli Parlimen Padang Serai tiba-tiba nak tunjuk jadi hero. Hero paling bongok pernah saya jumpa apabila mempertikaikan sewa yang begitu jauh murah dari terdahulu malah dengan negeri-negeri lain.
“Di Kota Bharu kecoh mengenai sewa bazar Ramadan dinaikkan hingga RM1,350. Dalam masa yang sama Perikatan Nasional (PN) serang Bazar Ramadan di KL yang mengenakan bayaran RM500 sahaja.
“Yang saya hairan pihak kerajaan negeri memberitahu bazar diuruskan oleh Perbadanan Stadium. Perbadanan Stadium pula menyerahkan Tun Event untuk menguruskannya.
“Yang lucunya antara alasan diberi, pihak penganjur (Tun Event) menyediakan pelbagai kemudahan lain bagi menarik kehadiran orang ramai termasuk pertandingan gerai paling cantik,” tulis Norman dalam hantaran Facebook.
Terdahulu tular di media sosial berhubung keluhan peniaga yang mengatakan harga tapak bazar Ramadan meningkat daripada RM500 kepada RM1,350.
Mengulas lanjut, Norman berkata, pihak penganjur bazar Ramadan perlu belajar daripada kehebatan dan kecekapan Dr Zaliha serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif dalam menyelesaikan perkara ini bersama dengan persatuan-persatuan peniaga.
“Belajar daripada kehebatan Dr Zaliha dan Datuk Bandar KL. Mereka keduanya hanya wanita bukan bergelar Panglima Perang. Kedua wanita ini sanggup berperang dengan persatuan-persatuan peniaga yang sebelum ini tiada siapa berani persoalkan.
“Isunya sekarang kenapa mahu diberikan kepada Tun Event menguruskan bazar Ramadan itu. Hanya kerana nak anugerahkan gerai paling cantik? Jangan la beri alasan bodoh, kesian dekat orang Melayu yang susah di Kelantan tu.
“Macam budak-budak sekolah dia beri alasan. Nasib baik la di Kelantan, boleh la jawab begitu. Kalau di Selangor sorang-sorang kena bongok dengan peniaga-peniaga bazar Ramadan,” katanya.
Semalam (9 Feb) Perbadanan Stadium Kelantan menjelaskan kos sewa tapak bazar Ramadan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV yang dikatakan meningkat sehingga tular itu diuruskan dan ditentukan oleh pihak swasta.
Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Stadium Kelantan, Zamakhshari Muhamad bagaimanapun berkata, walaupun harga tapak meningkat berbanding sebelum ini, namun saiz bagi tapak untuk Ramadan kali ini jauh lebih besar selain pelbagai perkhidmatan yang disediakan.