
DUNIA badminton negara dikejutkan dengan berita bekas jurulatih kebangsaan, Wong Tat Meng kini bertarung nyawa selepas terbabit dalam kemalangan motosikal di Sydney, Australia, pada Ahad lalu.
Menurut laporan media tempatan, kemalangan berlaku di Putty Road, apabila dua motosikal bertembung dalam satu insiden ngeri. Salah seorang penunggang disahkan maut di lokasi kejadian, manakala Tat Meng, 58, mengalami kecederaan parah.
Tat Meng yang juga dikenali sebagai peminat tegar dunia permotoran, diberikan rawatan kecemasan oleh paramedik New South Wales sebelum diterbangkan ke hospital. Beliau kini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Berita ini turut disahkan oleh bekas pemain kebangsaan, Datuk James Selvaraj, yang menyatakan rasa sedih dan terkejut atas insiden tersebut.
“Tat Meng merupakan jurulatih berdedikasi dan figura penting dalam pembangunan pemain profesional negara,” kata James.
Wong Tat Meng sebelum ini mencipta nama apabila membantu Lee Zii Jia meraih pingat gangsa dalam acara perseorangan lelaki di Sukan Olimpik Paris 2024. Beliau kemudian meletakkan jawatan dan berpindah ke Sydney untuk meneruskan kerjaya sebagai jurulatih kelab badminton di sana.
Rakan-rakan seperjuangan dan seluruh komuniti badminton negara mengirimkan doa dan mengharapkan keajaiban agar Tat Meng kembali pulih.