
PUTRAJAYA – Kemeriahan bazar Ramadan terus menjadi tarikan masyarakat berbilang kaum yang tidak melepaskan peluang berkunjung bagi menikmati pelbagai juadah serta merasai suasana meriah sepanjang bulan Ramadan.
Seorang pengunjung berbangsa India yang hanya mahu dikenali sebagai Loges, 37, berkata, dia tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke bazar Ramadan setiap tahun. Tahun ini merupakan kali keempat dia mengunjungi bazar Ramadan.
Ketika ditemu bual oleh wartawan The Malaysia Press, Loges berkata, walaupun sering ke bazar Ramadan, ini merupakan kali pertama dia mengunjungi bazar di Putrajaya.
“Saya memang sering datang ke bazar Ramadan, cuma ini kali pertama ke bazar di Putrajaya kerana ingin merasai suasana meriah bersama orang ramai serta mencuba pelbagai jenis makanan yang dijual di sini,” katanya.

Menurutnya, bazar Ramadan merupakan tempat terbaik untuk mencuba pelbagai jenis makanan tempatan.
“Di bazar Ramadan kita boleh jumpa pelbagai makanan. Kalau boleh, saya mahu mencuba hampir semua makanan yang ada. Pada masa yang sama saya juga mahu menyokong peniaga-peniaga tempatan,” katanya.
Loges turut mengakui keadaan ekonomi ketika ini agak mencabar, namun berpendapat bazar Ramadan merupakan sebahagian daripada budaya masyarakat Malaysia yang perlu terus diraikan.
“Walaupun ekonomi sekarang agak mencabar, bazar Ramadan adalah budaya rakyat Malaysia. Jadi setiap tahun kita perlu datang untuk memeriahkannya,” ujarnya.

Sementara itu, wartawan The Malaysia Press turut menemui seorang pelajar antarabangsa yang menuntut di Universiti Multimedia yang hanya mahu dikenali sebagai Sara, 47 tahun. Dia berkata sudah beberapa kali mengunjungi bazar Ramadan kerana tertarik dengan kepelbagaian makanan yang dijual.
“Selain makanan yang menarik dan sedap, saya juga suka melihat suasana masyarakat Muslim di sini. Saya sangat menyukai suasana Ramadan di Malaysia,” katanya.
Menurut Sara, nasi lemak sentiasa menjadi pilihan utama setiap kali berkunjung ke bazar dan merupakan makanan kegemarannya sepanjang berada di Malaysia.

Dalam pada itu, Laili, 25, menjadikan kunjungan ke bazar Ramadan sebagai aktiviti mingguan bersama ahli keluarganya.
“Kadang-kadang kami bosan pada waktu petang jadi saya dan adik-beradik akan singgah ke mana-mana bazar Ramadan,” katanya.
Tambahnya, dia biasanya akan berjalan mengelilingi bazar terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk membeli makanan.
“Saya pun sebenarnya tidak tahu hendak beli apa. Saya akan pusing dahulu dan jika ada makanan yang menarik barulah saya beli,” katanya.
Menurutnya lagi, air kelapa merupakan minuman wajib setiap kali berkunjung ke bazar.
“Air kelapa memang menu wajib bagi saya. Cuaca sekarang panas, jadi memang sedap kalau dapat minum sesuatu yang menyegarkan,” ujarnya.

Sementara itu, seorang peniaga makanan, Sara Elmida, 27, berkata jualan pada minggu pertama Ramadan sangat memberangsangkan, terutama pada hari pertama bazar dibuka.
“Namun cabaran utama adalah apabila hujan kerana jualan biasanya tidak habis,” katanya.
Tambahnya, selepas beberapa minggu berniaga, mereka sudah dapat menganggarkan jumlah makanan yang perlu dibawa bagi mengelakkan pembaziran.
“Kami sudah boleh agak berapa banyak jualan yang perlu dibawa ke bazar supaya tidak berlaku pembaziran,” jelasnya.

Tidak ketinggalan, Mei, 23, seorang pengunjung berbangsa Cina turut mengunjungi bazar Ramadan kerana ingin merasai suasana kemeriahan yang unik di situ.
“Saya suka berjalan di bazar untuk melihat makanan yang dijual. Jika ada makanan yang saya suka, saya akan membelinya,” katanya.
Mei turut mencadangkan agar lebih banyak bazar Ramadan diadakan di kawasan berbumbung bagi meningkatkan keselesaan pengunjung.
“Saya rasa pihak penganjur boleh menyediakan lebih banyak bazar Ramadan secara berbumbung supaya pengunjung lebih selesa dan tidak perlu berjalan di bawah panas,” katanya.
Tambahnya, langkah tersebut juga dapat membantu peniaga untuk terus berniaga walaupun dalam keadaan cuaca panas atau hujan.



