
ALOR SETAR – Konsep Rumah Bangsa yang diperkenalkan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bukanlah bertujuan meraih kepentingan politik sebaliknya hasrat menyatupadukan kembali orang Melayu bawah satu gabungan yang sama.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kenyataan dibuat Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung penubuhan Rumah Bangsa adalah sesuatu yang tidak wajar dan seolah-olah menyindir usaha berkenaan.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) berkata, matlamat penubuhan Rumah Bangsa memberi ruang kepada ahli UMNO yang berhenti, keluar parti, dipecat, digantung atau merajuk kembali dalam perjuangan selain membincangkan isu berkaitan bangsa Melayu seperti pembangunan pendidikan, ekonomi dan lain-lain termasuk Akta Pembangunan Semula Bandar (URA).
“Saya jarang menyentuh mengenai Sanusi tetapi apabila kenyataannya sudah keterlaluan, saya terpaksa bersuara seolah-olah menunjukkan sikap ego dan sombong, seakan-akan merasakan dirinya terlalu kuat dan tidak boleh dikalahkan di negeri Kedah ini.
“Beliau bercakap sesuka hati, menyindir dan memaki orang. Negeri ini bukan milik dia seorang sahaja… Ia bukan isu menjadi ‘abang besar’ seperti yang digambarkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media semasa Majlis Simfoni Sinergi Media@Keda 2026: Edisi Moreh di sini semalam.
Sebelum ini, media melaporkan pandangan peribadi Sanusi berhubung cadangan penubuhan Rumah Bangsa oleh UMNO sebagai usaha parti itu kembali berkuasa dan mengekalkan pengaruh dominan dalam politik negara.
Menurut Sanusi, tindakan itu dilihat cubaan UMNO untuk kembali berkuasa dan menjadi ‘abang besar’ semula.
Mahdzir yang juga Ketua UMNO Padang Terap, pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar Kedah dari 2005 hingga 2008.



