
KOTA KINABALU – Kerajaan MADANI terus komited dalam memastikan kebajikan murid sentiasa terpelihara apabila sejumlah RM76.29 juta Bantuan Awal Persekolahan (BAP) diperuntukkan kepada Negeri Sabah bagi tahun 2026.
Bantuan tersebut melibatkan seramai 508,631 murid warganegara di 1,298 buah sekolah di seluruh negeri, merangkumi 24 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), sekali gus memastikan pelaksanaan BAP dapat dilaksanakan secara menyeluruh, teratur dan berkesan.
Menurut Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi (KPSTI) Sabah, Datuk James Ratib, bantuan tersebut mencerminkan keutamaan Kerajaan dalam memperkukuh sektor pendidikan sebagai asas pembentukan generasi masa hadapan yang berdaya saing dan berilmu.
“BAP ini amat bermakna dalam membantu meringankan beban perbelanjaan persekolahan ibu bapa, khususnya pada awal tahun.
“Ia juga menjadi pembakar semangat kepada murid untuk terus fokus dan cemerlang dalam pembelajaran,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan BAP Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), di Dewan Kolej Tingkatan Enam, di sini pada Jumaat.
Dalam pada itu, James turut menyeru ibu bapa dan murid agar memanfaatkan bantuan ini dengan sebaiknya dan menjadi pembakar semangat untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.
“Kejayaan anak-anak di peringkat sekolah akan membuka laluan kepada pendidikan tinggi dan seterusnya melahirkan modal insan berkualiti untuk agama, bangsa dan negara,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau menegaskan bahawa tiada sebarang potongan atau kutipan bayaran dibenarkan daripada wang BAP tersebut dan perkara ini hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh semua pengetua dan guru besar di bawah seliaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada JPNS serta semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atas komitmen dan inisiatif berterusan dalam memastikan proses pengagihan bantuan ini berjalan lancar dan menepati garis panduan yang ditetapkan.
Terdahulu, BAP yang mula diperkenalkan pada tahun 2012 sebagai bantuan tunai one-off telah dinaikkan kepada RM150 bagi setiap murid bermula tahun 2023 dan diberikan secara sejagat tanpa mengira pendapatan.
Manakala bagi tahun 2026, Kerajaan meneruskan inisiatif ini buat tahun ke-14 dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM794.25 juta di peringkat nasional, yang mula diagihkan kepada sekolah bermula 8 Januari 2026.
Kerajaan akan terus memperkukuh sinergi bersama semua pihak berkepentingan bagi melahirkan generasi MADANI yang berilmu, berdaya saing dan berakhlak tinggi melalui sistem pendidikan yang inklusif, mampan dan berkesan.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin dan Ketua Penolong Pengarah Unit Pengurusan Pendaftaran Murid, Kementerian Pendidikan, Intan Suzana Abdul Rahman @ Abdullah.






