
MELAKA – Lebih 100 peniaga uptown di Klebang dan Banda Hilir di sini berdepan detik cemas apabila tiba-tiba dipukul ribut ketika hujan lebat melanda, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.30 malam itu, beberapa klip video berkaitan bencana tersebut turut tular di laman sosial memaparkan khemah para peniaga musnah diterbangkan angin kuat.
Seorang peniaga Uptown Pahlawan Walk, Hisyam Holidi, 48, berkata, kejadian ribut itu berlaku dalam sekelip mata sehingga dia tidak sempat menyelamatkan barangan pakaian yang dijual.
“Sebelum Isyak tiba-tiba ribut datang dan menghentam khemah kami di sini, saya sendiri terperangkap di dalam khemah kerana belum sempat nak keluar dah runtuh.
Memang tak dapat nak selamatkan apa-apa sebab barang semua dah jatuh masuk ke dalam air pada paras bawah lutut. Tak lama pun ribut ni dalam satu minit sahaja tetapi semua musnah,” katanya.
Tambahnya lagi, dia menganggarkan kerugian dialaminya mencecah RM30,000 melibatkan pakaian pelbagai jenama.
Sementara itu Ahmad Firdaus Ahyani, 34, pula memberitahu, kejadian itu adalah yang pertama kali berlaku sepanjang lapan bulan uptown itu dibuka.
“Semua peniaga pegang khemah masing-masing tetapi tetap ranap, ini kali pertama kami dipukul ribut sejak uptown ini dibuka Januari tahun ini.
“Kami tak sempat berniaga pun, mula-mula cuaca mendung selepas itu disusuli hujan rintik sebelum tiba-tiba datang ribut. Dua buah khemah ranap, stok baju bernilai RM13,000 juga habis rosak tidak dapat diselamatkan,” katanya.