
BANTUAN kepada mangsa banjir akan disalurkan terus tanpa melalui wakil rakyat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan akan terus mengekalkan kaedah pemberian itu menerusi agensi-agensi yang berkaitan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara itu menegaskan, bantuan sudah diberikan secara sama rata oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri dan agensi lain.
“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) turut memberi bantuan.
“Insya-Allah, dengan keberadaan mereka di tempat banjir terutama pusat pemindahan sementara (PPS) cukup meredakan perasaan amarah (mangsa banjir) jika melihat tidak ada wakil rakyat yang turun,” katanya dalam satu program bual bicara anjuran Bernama TV, malam tadi.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Perikatan Nasional, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menggesa kerajaan mempertimbang peruntukan segera sebanyak RM1 juta kepada Ahli Parlimen pembangkang yang kawasan mereka terjejas banjir untuk disalurkan kepada mangsa.
Manakala Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula memohon kerajaan supaya membenarkan bantuan kewangan disalurkan terus kepada wakil rakyat di kawasan terjejas banjir bagi mengelakkan ia lambat diterima oleh mangsa.
Sementara itu, Ahmad Zahid memaklumkan, pihaknya telah mengenal pasti sejumlah 8,481 PPS yang boleh memuatkan lebih 2.1 juta mangsa banjir pada satu-satu masa selain pembabitan 82,000 petugas pelbagai agensi dalam penyelarasan bantuan.
Jelasnya, kerajaan telah bersiap siaga untuk menghadapi gelombang banjir kedua.
“Kita tidak mengharapkan sesuatu yang buruk tetapi lebih baik daripada sudah terhantuk baru terngadah,” katanya.




