
GUA MUSANG – Lebih 30,000 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri melahirkan rasa lega apabila mereka kini tidak perlu meredah perjalanan sejauh 50 kilometer (km) untuk mengeluarkan wang berikutan kawasan itu sudah dilengkapi dengan kemudahan mesin juruwang automatik (ATM).
Menurut tinjauan Sinar Harian di SMS Maju Solutions, Jerek Baru di sini yang menjadi lokasi mesin ATM dipasang, rata-rata penduduk terharu dan bersyukur kerana ‘suara’ mereka didengari pihak berkaitan.
Mesin itu siap dipasang dan mula digunakan penduduk di DUN Nenggiri, semalam.
Penduduk Kampung Jerek, Hamzah Noh, 54, berkata, sehingga kini dia tidak percaya mesin ATM sudah ada di kawasan kampungnya.
“Sebelum ini, saya perlu memandu hampir satu jam ke bandar Gua Musang, tetapi sekarang tidak sampai tiga minit dari rumah.
“Terima kasih kepada Awie (calon Barisan Nasional, Mohd Azmawi Abdul Ghani) dan Abe Din (Timbalan Ketua UMNO Bahagian Gua Musang, Mohd Syahbuddin Hashim) yang merealisasikan impian kami.
“Ini baru betul, wakil rakyat belum dipilih, ATM sudah dipasang,” katanya yang sudah tidak sabar lagi hendak menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi Sabtu ini.
Sebelum ini, media pada 5 Ogos lalu melaporkan, lebih 30,000 penduduk di DUN Nenggiri memerlukan kemudahan mesin ATM dan stesen minyak untuk kelangsungan hidup mereka.
Ini kerana penduduk mendakwa mereka perlu ke bandar Gua Musang sejauh lebih 50 km dan memandu hampir 45 minit untuk ke mesin ATM berhampiran.