
ASEAN menggesa Thailand dan Kemboja segera menghentikan permusuhan di sepanjang sempadan bersama serta memberi keutamaan kepada pelaksanaan gencatan senjata, susulan usaha menyambung semula perbincangan antara kedua-dua negara bagi meredakan ketegangan yang berlarutan.
Menteri-Menteri Luar ASEAN mengalu-alukan sambungan semula perbincangan antara Kemboja dan Thailand untuk meneruskan gencatan senjata serta menghentikan permusuhan, sambil menyatakan harapan agar situasi di sepanjang sempadan bersama dapat diredakan secepat mungkin.
Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri-Menteri Luar ASEAN memaklumkan bahawa usaha berkenaan dijadualkan berlangsung pada Rabu ini.
“Jawatankuasa Sempadan Am (General Border Committee – GBC) akan bersidang pada 24 Disember 2025 bagi membincangkan pelaksanaan dan pengesahan gencatan senjata.
“Menteri-Menteri Luar ASEAN menyatakan harapan agar ketegangan dapat diredakan secepat mungkin,” menurut kenyataan itu yang dikeluarkan selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN, di sini hari ini.
Mesyuarat khas berkenaan diadakan bagi membincangkan situasi berterusan antara Kemboja dan Thailand, susulan keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri Malaysia, Kemboja dan Thailand pada 11 Disember lalu.
Malaysia turut memaklumkan mesyuarat tersebut mengenai usaha yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam kapasitinya sebagai Pengerusi ASEAN, bagi menggalakkan kedua-dua negara menghentikan permusuhan dan mengelakkan peningkatan lanjut ketegangan.
Mesyuarat itu juga menerima taklimat daripada Pasukan Pemerhati ASEAN (Asean Observer Team – AOT) berdasarkan mandatnya, manakala Kemboja dan Thailand masing-masing berkongsi pendirian mereka berhubung perkembangan terkini di lapangan.
Menteri-Menteri Luar ASEAN turut mengimbas kembali komitmen terdahulu, termasuk pengaturan gencatan senjata pada 28 Julai, keputusan Mesyuarat Luar Biasa GBC pada 7 Ogos serta Deklarasi Bersama Kuala Lumpur yang ditandatangani pada 26 Oktober, sambil menggesa kedua-dua pihak melaksanakannya sepenuhnya dan dengan berkesan.
ASEAN juga menegaskan semula komitmennya terhadap prinsip perpaduan dan keterpusatan, serta menyatakan kesediaan untuk terus memudah cara dialog dan langkah pembinaan keyakinan melalui mekanisme sedia ada demi memastikan keamanan dan kestabilan serantau terpelihara.
Terdahulu, Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN menggesa blok serantau itu mengambil tindakan segera bagi mengelakkan peningkatan lanjut ketegangan antara Thailand dan Kemboja.
Beliau menegaskan bahawa mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau mesti kekal sebagai keutamaan utama ASEAN.
Konflik yang berpunca daripada pertikaian sempadan era penjajahan melibatkan jarak kira-kira 800 kilometer antara Thailand dan Kemboja itu telah menyebabkan kira-kira 800,000 orang kehilangan tempat tinggal, menurut pegawai.
Lebih setengah juta penduduk di Kemboja telah dipindahkan dari kediaman mereka susulan dua minggu pertempuran berdarah di sempadan, menurut Kementerian Dalam Negeri di Phnom Penh pada Ahad.
Sementara itu, pihak berkuasa di Bangkok memaklumkan bahawa kira-kira 400,000 penduduk di Thailand turut dipindahkan akibat konflik sempadan yang kembali memuncak.







