ASEAN laksana reformasi kewangan dan perdagangan – PM Anwar

ASEAN kini sedang melaksanakan usaha mereformasi kerangka kerjasama ekonomi serantau bukan sahaja dengan meningkatkan perdagangan antara negara-negara anggota, malah memperluaskan penggunaan mata wang tempatan, demikian menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif konkrit ke arah mewujudkan sistem kewangan yang lebih stabil dan bebas daripada dominasi unilateral.

“Sudah tentunya, ia bukan mengenai de-dollarisasi (pengurangan pergantungan terhadap dolar AS)… belum lagi, langkah itu masih jauh lagi. Tetapi sekurang-kurangnya kita mencuba.

“Malaysia dengan Indonesia, Malaysia dengan Thailand, dan bersama-sama China, kita mula menggunakan mata wang tempatan kita sendiri, walaupun ia bermula dengan hanya 10 atau 20 peratus daripada jumlah perdagangan.

“Ia membawa perubahan kerana kita tidak boleh berterusan merungut tanpa melaksanakan rancangan sendiri, baik sesama sendiri mahupun dengan jiran kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Forum Perniagaan BRICS bertajuk: ‘Bridging Continents, Building Future: A Shared Agenda for Sustainable Progress’ (Merapatkan Jurang Benua, Membina Masa Depan: Agenda Bersama untuk Kemajuan Mampan), di Rio de Janeiro, Brazil, pada Sabtu.

Turut hadir dalam forum tersebut ialah Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva; Naib Presiden Brazil, Geraldo Alckmin; dan Presiden Confederation of National Industry (CNI) Brazil, Ricardo Alban.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut menegaskan bahawa negara-negara Asia Tenggara perlu terus mempertahankan prinsip perpaduan, bersahabat dengan semua negara, dan menyokong perjuangan yang adil. Namun, katanya, sokongan itu tidak harus bersifat retorik semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan yang nyata.

“Ia mesti diterjemahkan melalui tindakan konkrit,” tegas beliau.

Anwar juga menyatakan keyakinan bahawa negara-negara ekonomi sedang pesat membangun kini mencapai kejayaan ketara dalam bidang-bidang seperti penerbangan, teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan inovasi makanan.

“Saya percaya percubaan BRICS ini akan melahirkan beberapa kejayaan besar yang bakal mengubah landskap dunia dan membawa perubahan dalam sejarah umat manusia.

“Saya berasal dari Malaysia, dan dalam ASEAN, kami sering membincangkan isu yang sama. Pertamanya, kita mesti bersatu. Kita bersatu dalam satu suara berdasarkan perjanjian pelbagai hala,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut menyeru agar negara anggota BRICS dan ASEAN terus memperkukuh kerjasama strategik rentas rantau, khususnya dalam aspek perdagangan dan pelaburan demi manfaat bersama negara-negara membangun.

“Saya turut menyeru agar dilakukan reformasi besar-besaran terhadap institusi-institusi global seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

“Institusi-institusi ini perlu mencerminkan realiti semasa dan keperluan negara-negara membangun, dan tidak terus terperangkap dalam struktur usang pasca Perang Dunia Kedua,” tegas Perdana Menteri.

Related Posts

PM mahu FELDA terus jadi sebahagian pembangunan negara

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, semua kementerian dan agensi kerajaan perlu memastikan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) terus menjadi sebahagian daripada agenda pembangunan negara. Beliau…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Konflik Asia Barat jadi peringatan, perkukuh perpaduan dunia Islam – PM

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan konflik yang berlaku di Asia Barat ketika ini sebagai peringatan penting kepada negara Islam untuk memperkukuh perpaduan serta berani menyuarakan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

15 tan bekalan tiba di Paitan, mangsa banjir Sugut dibantu

15 tan bekalan tiba di Paitan, mangsa banjir Sugut dibantu

Penerbangan pulang rakyat Malaysia dari Dubai, UAE dipertingkat

Penerbangan pulang rakyat Malaysia dari Dubai, UAE dipertingkat

PM mahu FELDA terus jadi sebahagian pembangunan negara

PM mahu FELDA terus jadi sebahagian pembangunan negara

Konflik Asia Barat jadi peringatan, perkukuh perpaduan dunia Islam – PM

Konflik Asia Barat jadi peringatan, perkukuh perpaduan dunia Islam – PM

Fenomena ‘masjid hopping’ meriahkan Ramadan di ibu kota

Fenomena ‘masjid hopping’ meriahkan Ramadan di ibu kota

Trans-Borneo: Sarawak sokong, mahu pelbagaikan mod pengangkutan

Trans-Borneo: Sarawak sokong, mahu pelbagaikan mod pengangkutan