PUTRAJAYA – Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio menggesa Kemboja serta Thailand meredakan ketegangan dan bersetuju dengan gencatan senjata susulan pertikaian sempadan yang berlarutan.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Tammy Bruce berkata, Rubio telah menghubungi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Kemboja, Prak Sokhonn bagi menekankan kepentingan gencatan senjata serta-merta.
Beliau berkata, Rubio mengulangi hasrat Presiden AS, Donald Trump melihat keamanan tercapai dan gencatan senjata dilaksanakan segera.
“AS bersedia memudah cara perbincangan pada masa depan bagi menjamin keamanan dan kestabilan antara Thailand dengan Kemboja,” katanya dalam kenyataan disiarkan melalui laman rasmi jabatan itu.
Bruce berkata, Rubio turut menyampaikan mesej sama kepada Menteri Luar Thailand, Maris Sangiampongsa, sambil menegaskan kesediaan Washington membantu memudahkan dialog dan usaha damai antara kedua-dua negara terbabit.
Dalam perkembangan terbaru, Bernama melaporkan Kerajaan Thailand mengesahkan akan menghadiri rundingan damai serantau di Malaysia, hari ini, bagi membincangkan konflik sempadan yang semakin meruncing dengan Kemboja.
Jurucakap Kerajaan Thailand, Jirayu Huangsap, dipetik sebagai berkata, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim – selaku Pengerusi ASEAN – menjemput kepimpinan Thailand membincangkan konflik Thailand-Kemboja.
Pertikaian sempadan antara kedua-dua negara itu memuncak pada 25 Julai lalu sehingga mencetuskan pertempuran bersenjata di kawasan sempadan utara Kemboja.







