
SIBU – Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) kini secara rasmi mengambil alih pelaksanaan Program Mastery Semikonduktor daripada SMD Semiconductor menerusi satu majlis simbolik yang berlangsung di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) pada Ahad.
Majlis penyerahan bersempena SMD IC Design Make-A-Thon 2025 itu turut disaksikan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD), Datuk Dr. Annuar Rapaee.
Ketua Pegawai Eksekutif SMD, Shariman Jamil berkata, penyerahan tersebut bukan sekadar memindahkan tanggungjawab, malah satu langkah strategik dalam memperkukuh ekosistem bakat Sarawak untuk memenuhi keperluan industri semikonduktor yang semakin berkembang pesat.
“Dengan CENTEXS menerajui pelaksanaan dan SMD kekal sebagai penyedia latihan eksklusif, kami yakin program ini dapat diperluas serta terus mengekalkan kualiti teknikal yang diperlukan,” katanya.
Program selama enam bulan itu pada asalnya memberi tumpuan kepada Reka Bentuk IC Analog dan kini bakal diperluaskan kepada Reka Bentuk Digital serta Penyelesaian Ujian Litar – bidang yang menjadi keutamaan dalam aspirasi industri semikonduktor Sarawak.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS, Datuk Syeed Mohd Hussien Wan Abd Rahman menyifatkan peralihan itu sebagai satu detik yang membanggakan, selain membuktikan kepercayaan terhadap CENTEXS untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam bidang semikonduktor.
“Langkah ini mengukuhkan sinergi antara CENTEXS dan SMD serta menyokong sektor elektrik dan elektronik (E&E) Sarawak, sekali gus memacu inovasi negeri ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.
Inisiatif ini juga selari dengan komitmen kedua-dua organisasi terhadap pembangunan mampan dan memperkukuh rantaian bakat dalam industri semikonduktor global.





