
KUALA LUMPUR – Semangat rakyat negara ini yang mahukan keadilan buat rakyat Palestin yang sengsara selama hampir 70 tahun menjadi pendirian utama Malaysia dalam membantu mereka yang teraniaya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keberaniannya dalam membela nasib rakyat Palestin adalah disebabkan, semangat perjuangan rakyat Malaysia yang mahukan keadilan untuk mereka di sana.
“Kerana derita mereka hampir 70 tahun, rumah, tanah, anak-anak dan isteri dihina, diaibkan, dirompak, dirampas dan dibunuh, jadi kita ambil pendirian itu.
“Saya berani (bantu Palestin) sebab rakyat mahu, saya mewakili semangat perjuangan rakyat. Mana ada dan boleh kira berapa orang sahaja yang begitu tegas, orang lain nak sebut Hamas pun takut, tapi kita ‘peluk’ pemimpin Hamas, ada pembangkang sokong?, satu kenyataan pun tiada,” katanya.
Beliau berucap sedemikian dalam Himpunan Keadilan ‘Suara Rakyat Suara Keramat, Dari Reformasi ke Malaysia Madani’ yang berlangsung di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil pada malam tadi.
Mengulas lanjut mengenai hubungan dengan Amerika pula, Anwar membidas kenyataan sesetengah pihak yang mengatakan kerajaan berpendirian pro-Amerika.
“Memang kita baik dengan Amerika, kita perlu kepada pelaburan daripada mereka tetapi Malaysia baik juga dengan China, negara Arab Timur Tengah dan Rusia.
“Maknanya Malaysia sekarang ini secara tegasnya sudah berdikari, bebas untuk berkawan dengan timur, barat, utara dan selatan. Inilah dia Malaysia sekarang,” katanya.
Jelas Anwar, kejayaan pentadbiran Kerajaan Perpaduan turut mendapat pengiktirafan daripada syarikat HSBC yang sudah bertapak selama 140 tahun.
“Syarikat HSBC mengiktiraf, sejak Kerajaan Perpaduan mengambil alih kerajaan, politik stabil, ekonomi melonjak, ringgitnya kuat, tapi kita tidak ditimpa perasan dan tidak angkuh sebab tahu ada yang masih belum selesai iaitu kos sara hidup.
“Oleh itu, Belanjawan Madani 2025, akan cuba selesaikan sedaya upaya masalah harga barang dan kos sara hidup,” ujarnya.
Perdana Menteri juga akan segera dan bersedia untuk membantu rakyat Kedah yang ditimpa bencana banjir ketika ini.
“Saya tak peduli daripada parti mana tapi rakyat susah itu tanggungjawab kita, banjir di Kedah yang teruk, insya-Allah esok pagi (Sabtu), saya akan ‘terbang’ ke Kedah.
“Projek di Kelantan banyak yang tidak terurus, terlaksana dengan baik, 1 Oktober nanti, insya-Allah saya sampai ke Kelantan. Kita dapat tolong sebab ekonomi terurus, kerana dalam susah payah pun, orang miskin, saya tidak pernah jawab tiada wang,” katanya.