
KUALA LUMPUR – 26 tahun berlalu, 20 September tetap menjadi tarikh keramat bagi mengenang kembali setiap perih jerih perjuangan yang dilalui oleh semua pejuang reformasi bagi menegakkan keadilan.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tarikh tersebut sebagai satu peringatan untuk semua ahli pejuang supaya memperingati kembali apa asas perjuangan yang dibawa bertahun-tahun dahulu.
“Hari ini 20 hari bulan, pengalaman yang sengit, perit dialami oleh ribuan untuk menegakkan keadilan dalam negara ini, hentikan amalan penyakau, perasuah, penindas di negara ini dan untuk satukan semangat rakyat pelbagai kaum, Melayu, Cina, India, Iban dan Kadazan sebagai satu kesatuan rakyat raksasa bangkit.
“Jangan padamkan sejarah, sejarah mengajar kita, kita ada kuasa, jangan lalai, kita ada kuasa (ada yang memegang amanah sebagai menteri, Menteri Besar, dan pelbagai jawatan) jangan lupa asas perjuangan kita,” katanya.
Beliau berucap sedemikian dalam Himpunan Keadilan ‘Suara Rakyat Suara Keramat, Dari Reformasi ke Malaysia Madani’ yang berlangsung di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi.

Mengulas lanjut, Anwar turut menyeru ahlinya agar sentiasa bangkit dengan segala usaha dan kepayahan dan harus sentiasa mengingati kepahitan ketika ribuan dipukul dan ditahan semasa memperjuangkan reformasi suatu ketika dahulu.
“Ingat ini parti perjuangan, parti reformasi, parti yang tidak gentar dengan fitnah-fitnah kamu, kami bangkit di tengah-tengah gelombang fitnah yang dahsyat, kami bertarung di dalam segala kekuatan, menghadapi tekanan yang tidak pernah dilalui sejak merdeka.
“Tapi alhamdulillah kami tetap bangkit dan pegang tampuk pemerintahan negara, bangkit ekonomi Melayu, kita perintah tidak sampai dua tahun, pertama kali dalam sejarah sejak merdeka 1957, Kerajaan Madani mengisytiharkan 50 ekar tanah paling berharga di Kuala Lumpur sebagai rizab Melayu, mana pemimpin Melayu belah sana?” katanya.
Jelas Anwar, sebelum ini beliau tidak menjawab segala tuduhan dan hinaan keatas dirinya kerana fokus menjaga serta memilih untuk menjawabnya pada malam 20 September ini.
“Malam ini saya tidak bercakap sebagai seorang perdana menteri, saya bercakap sebagai Anwar Ibrahim, pejuang reformasi.
“Lama saya diam, kerana tumpu untuk menjaga rakyat. (Dalam isu peruntukan) bagi wang kepada kamu, kami adil. Tidak bagi wang kepada kamu, kami zalim. Saya tidak pedulikan perkara itu kerana saya mahukan rakyat mendapat peruntukan,” katanya.
Mengenang kembali detik hitam 20 September 1998, malam itu rumah diserbu, pintu dipecahkan dan Anwar diheret bagai penyamun, penjenayah paling besar dalam negara, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan anak-anak terkapai-kapai, tapi syukurlah benteng utama beliau, Wan Azizah masih ada.
“Malam 20 September, bukan malam yang mudah untuk saya, ditangkap, digari, dan ditutup mata, dipukul setengah mati tapi bersyukur kerana di sebalik segala penghinaan, dipukul setengah mati, saya kembali hidup dengan sihat dan mengejutkan ramai.
“Sehingga orang yang dengki khianat dan busuk hati tidak tidur lena, tak faham, mengapa ‘orang penjenayah dan jahat’ macam Anwar jadi Perdana Menteri Malaysia,” katanya lagi.
Sebelum mengakhiri ucapan, Anwar turut mengingatkan pihak pembangkang agar tidak melampaui batas dan membangkang dengan adil demi kesejahteraan semua pihak.
“Saya nak ingatkan saudara-saudara di sebelah sana, boleh lawan tapi cara beradab, boleh bangkang boleh bantah tapi jangan khianat, jangan melampaui batas kerana anak-anak ini anak pejuang.
“Ini 20 September dari 1998 hingga sekarang, lama sekali dari umur 50 sampai 75 masa jadi Perdana Menteri tapi seperti mana pernah disebut Saifuddin Nasution, sepanjang masa itu, sedetik pun saya tidak mengalah dan merasa kita akan kalah dan alhamdulillah sekarang kita pegang kuasa untuk jalankan amanah sebaiknya,” ujarnya.
Laungan ‘Reformasi’ dan ‘Lawan Tetap Lawan’ serta pepatah ‘Membujur Lalu Melintang Patah’ menutup himpunan ribuan manusia pejuang reformasi pada Jumaat.