DATUK Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Setiausaha Majlis Keselamatan Rusia, Sergei Shoigu, di Perdana Putra, hari ini,
Kunjungan itu bagi bertukar-tukar pandangan mengenai isu keselamatan dan pertahanan.
Ketibaan Shoigu di bangunan yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri itu kira-kira jam 10.15 pagi dimulakan dengan Kawalan Kehormatan Setempat daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.
Shoigu kemudian menandatangani buku pelawat sebelum mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri.
Turut hadir Duta Besar Rusia ke Malaysia, Nail Latypov.
Tahun lalu, Anwar mengadakan lawatan ke Rusia untuk menghadiri forum ekonomi dan berucap bersama-sama Presiden Vladimir Putin.
Rusia adalah rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah pada 2023, dengan jumlah dagangan dua hala meningkat 15.6 peratus tahun ke tahun kepada RM14.22 bilion (AS$3.1 bilion), berbanding RM12.3 bilion (AS$2.79 bilion) direkodkan pada tahun sebelumnya.







