
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil lapan lagi saksi bagi membantu siasatan berhubung penahanan empat pegawai bekas Perdana Menteri ke-9, minggu lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, saksi tersebut akan dipanggil dalam masa terdekat iaitu dalam minggu ini.
Beliau berkata, lapan saksi itu akan dipanggil bermula minggu ini dan minggu hadapan.
“Selain itu Bahagian Pencegahan Wang Haram (AMLA) sedang meneliti dokumen yang dirampas.
“Siasatan dijalankan mengikut Akta Pencegahan Rasuah 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” katanya.
Menyentuh sama ada bekas Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri Yaaakob atau individu kenamaan akan dipanggil untuk dirakam percakapan, Azam enggan mengulas lanjut.
Jelasnya, siasatan masih diteruskan oleh SPRM dan pihaknya tidak dapat menjangkakan bila tarikh siasatan akan dapat dilengkapkan.





