
DATUK Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan siasatan rapi dan telus akan dilakukan berhubung insiden tembakan membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan lima warga Indonesia di perairan Tanjung Rhu, dekat Banting, Selangor pada 24 Januari lalu.
Perdana Menteri berkata, siasatan itu susulan Maritim Malaysia didakwa menggunakan kekerasan berlebihan sehingga mengakibatkan seorang daripada mereka maut, manakala empat lagi cedera.
Katanya, beliau tidak akan melindungi mana-mana individu yang bertindak bertentangan undang-undang.
“Pagi tadi saya sudah minta supaya laporan hasil siasatan awal disampaikan kepada pihak Kedutaan Indonesia (untuk diteliti).
“Indonesia adalah negara sahabat, saya beri jaminan siasatan kita akan cukup rapi, cukup telus dan tidak melindungi sesiapa.
“Kita tak mahu insiden ini mengganggu hubungan baik antara kedua-dua negara mesti ikut hukum,” katanya ketika ditemui pada satu majlis di Ipoh, Perak, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, perkara itu juga sudah dimaklumkan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Berhubung insiden Kedutaan Malaysia di Jakarta dibaling telur oleh sekumpulan penunjuk perasaan semalam, Perdana Menteri mengingatkan rakyat Malaysia supaya bertenang dan tidak membalas insiden itu agar tidak berlarutan.
“Kita ikut hukum dan kita faham kadang-kadang kemarahan (ekoran) laporan tak bertanggungjawab yang menghangatkan suasana, menghukum tanpa fakta dan sebelum siasatan selesai,” katanya.